Nikmat Memberi Atas Nikmat Menerima

Dengan Bismillah dan Selamat Sejahtera,
Teringat satu nota penting dan pelajaran baru yang saya dapat tatkala bertandang ke Blog Penulis INI. Gaya penulisan yang santai tetapi selalunya penuh simbolik. Pertama kali membaca naskah novelnya yang bertajuk "Doa Untuk Aku", saya dapati penulis ini ternyata mempunyai idea tersendiri dalam menanggapi sesuatu peristiwa atau pengalaman hidup yang dilaluinya.


Sehinggakan "terminum" kopi pahit kerana terlupa mengacau susu didalamnya pun boleh jadi sebab beliau menulis tentang falsafah kehidupan. Cuba baca apa yang ditulisnya tentang kopi yang pahit ini.


Pagi tadi semasa minum kopi, saya merasa sedikit pahit, namun tetap jugalah saya minum. Dan pada ketika air kopi tinggal suku, barulah saya perasan saya lupa mengacau kopi dan susunya. Apabila saya kacau, kopi yang tinggal suku itu terasa sangat manis pula. Terlalu manis sehingga tidak mampu saya minum.Agaknya itu hidup. Ada waktunya kita terlupa yang 'manis' itu ada di dasar, perlu dicari, dan pada ketika malas mencari, yang kita peroleh cuma pahit. Ada waktunya juga, pada ketika teringat berkenaan 'manis' itu, semuanya sudah terlewat.  
Mujurlah, Tuhan sudah membantu, 'membancuh', hidup kita antara yang pahit dan manis. Cuma apabila kita terlupa kepada Tuhan, pada waktu itulah kita berasa hidup ini hanya pahit semata-mata, ataupun hanya manis yang ada sehingga lupa, hidup kita bukan ada apa-apa maknanya sekiranya hanya berkenaan yang pahit-pahit, ataupun hanya berkenaan yang manis-manis.( pautan di sini )

Jadi, hiruplah hidup yang pahit manis ini dengan senyuman dan bismillah. :)
Saya tersentuh dengan bicara beliau mengenai Nikmat kehidupan yang dianugerahkan Tuhan kepada kita.Benar sangat luahnya apabila kita sangat gembira dan teruja apabila menerima dan mendapat semua yang baik-baik seperti mendapat kejayaan dalam peperiksaan, mendapat cahayamata baru, menerima bonus raya dan banyak lagi. Perasaan berasa sangat bersyukur.

Tetapi, sedarkah kita bahawa Nikmat Memberi dalam hidup ini sebenarnya lebih mengujakan dan membuat hati dan perasaan lebih bahagia? Ya, itulah pelajaran penting yang saya dapat daripada tulisannya itu. Lihat apa katanya tentang Nikmat Memberi dan Menerima ini :

Menerima perkara yang baik-baik itu nikmat. Menerima gaji, menerima cinta, menerima hadiah, menerima cahaya mata.Saya, kamu, kita semua bersyukur dan bergembira, menerima perkara yang baik-baik. Walaupun, perkara yang saya sering kesalkan berkenaan menerima perkara yang baik adalah, saya sering terlupa bagi bersyukur, namun tidak pernah lupa bagi berdoa untuk meminta lagi.Lupa bersyukur itu, membuatkan nikmat menerima perkara yang baik-baik itu, terhenti hanya pada tahap itu.
Sedangkan itu bukan nikmat yang paling nikmat yang dapat diperoleh. Ada lagi nikmat yang lebih besar, dan memberi ketenangan jiwa yang lebih halus.Antaranya, nikmat memberi perkara yang baik-baik. Memberi senyum, memberi sedekah, memberi cinta, memberi hadiah, dan segala macam yang baik-baik.Itulah nikmat yang lebih atas, daripada nikmat menerima, nikmat memberi.. ( pautan di sini )
Tiada apa lagi dapat saya catatkan.Selamat Meraikan Malam Seribu Bulan..:) 

Post a Comment

0 Comments