Hati Kita,Kita Yang Jaga

Dengan Bismillah dan Salam Sejahtera,
Kalau cakap bab hati dan perasaan ni memang payah kan.Yelah kan,hati kita siapa lagi yang patut mengawalnya kalau bukan kita sendiri.Ada masa kita berjaya menjaga dan mengawal hati, banyak masa juga kita tersasar dalam mengurus hati.

Kenapa hati?
Hati adalah juzuk terpenting dalam diri manusia. Ia ibarat raja atau penguasa dalam diri. Hatilah yang menentukan arah-tuju hidup, adapun anggota-anggota yang lain hanya mengikut sahaja. Hakikat ini telah diperingatkan oleh Nabi s.a.w. dalam sabdanya;

ألا وَإنَّ في الجَسَدِ مُضْغَةً إذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الجَسَدُ كُلُّهُ، 
وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الجَسَدُ كُلُّهُ ألاَ وَهِيَ القَلْبُ
“Ketahuilah! Sesungguhnya di dalam jasad manusia terdapat segumpal daging. Jika baik segumpal daging itu, akan baiklah jasad keseluruhannya dan jika ia rosak, akan rosaklah jasad keseluruhannya. Ketahuilah! Segumpal daging yang aku maksudkan itu ialah hati” (Riwayat Imam al-Bukhari).

Dari hadis ini kita dapat faham bahawa perjalanan diri manusia bergantung kepada hatinya. Jika hatinya bersih, elok dan soleh, maka segala tindakan dan perlakuan yang lahir dari anggota-anggota jasadnya akan turut bersih, elok dan soleh; tangan akan hanya mengambil yang bersih dan elok, mata akan melihat kepada yang elok-elok, telinga juga akan mendengar hanya bunyi yang elok, kaki akan pergi ke tempat-tempat yang elok dan begitu lah seterusnya. Namun jika hati kotor, jahat dan fasiq, maka anggota-angota badan juga akan turut menjadi sepertinya.

Kerana itu, amat penting kita mempelajari tentang hati, memberi perhatian kepadanya dan memantau keadaan hati kita dari masa ke semasa. Perubahan dalam hidup kita bermula dari hati. Hati yang perlu diislahkan terlebih dahulu sebelum kita mengislahkan jasad kerana jasad hanya akan mengekori hati kita. Perubahan yang bermula dari zahir tanpa bermula dari batin (yakni hati), perubahan itu tidak akan kekal lama. Namun jika bermula dari hati, Insya Allah ia akan ia akan kekal buat selamanya selagi hati tidak berubah. ( Sumber dipetik dari sini : Koleksi Al Qalam ).

Hati Kita,Kita Yang Jaga
Dalam kita menjaga hati sendiri,ada masa kita terpaksa pula menjaga hati orang lain.Ya, bukan senang untuk menjaga hati manusia lain dan pada masa sama kita juga mahu menjaga hati sendiri.Adakala kita terpaksa menerima hakikat dalam menjaga hati manusia lain, kita harus melukakan hati sendiri.


Memang begitu erti hidup ini.Tambah-tambah lagi kalau apa yang kita cuba pertahankan itu, sebenarnya ia lebih kepada kehendak ego sendiri.Dan ia nya pula bersifat keduniaan pula.lagilah susah untuk kita mengurus hati yang didalamnya ada juga makhluk sombong, riak, ujub dan hasad dengki menumpang sekaki.

Kalau makhluk-makhluk yang saya senaraikan itu masih berbaki dan menumpang dalam hati, kena banyak mujahadah.Kena kuat iman dan selalu mohon kepada Tuhan.Akuilah dan berterus terang dalam doa kita, yang kita memang ada perasaan begitu dalam hati, cuma mohon Allah lindungi kita yang serba lemah ini agar diberi kuasa dan kekuatan untuk mengurus hati.Mohon semoga Allah sentiasa anugerahkan sesuatu yang lebih baik kepada kita.Kerana setiap masa, kita sendiri tidak akan tahu, apakah dugaan atau nikmat yang Allah kurniakan itu baik atau tidak kepada kita.

Marilah sama-sama kita usahakan agar beroleh hati yang sentiasa bersangka baik dan ikhlas kepada manusia lain...amin:)

Post a Comment

0 Comments