Cara Tuhan Menjawab Doa Saya

Dengan Bismillah.
Sepatutnya, saya sudah sedar hal ini lama dulu. Cuma mungkin, hidayah belum sampai atau lambat sedar akan kehadiran hidayah itu kerana beban kesalahan dan kelalaian yang sering beraja dihati.Nauzubillah..kenapa ye, tiba-tiba sahaja saya berbicara seperti tiada hujung pangkal?Hey, merapu ke Cik Matahariku..?

Sebenarnya begini, memandangkan saya guru yang baru posting selepas menyambung pengajian dalam KPLI, Saya berasa sangat sedih dan terkilan, apabila mendapat tahu rakan sekerja yang baik dengan saya, yang dapat saya anggap mentor saya di sekolah itu, akan meninggalkan saya. Dia memohon untuk bertukar ke Sabah selepas hampir berkhidmat 20 tahun di sekolah itu.

Perasaan sedih itu, berganda buat saya kerana situasi kami ketika itu. Saya dan guru senior itu ditugaskan sebagai Penyelaras Bilik Bahasa Sekolah kami. Kami tidak ditempatkan di Bilik Guru bersama guru-guru lain. Jadi, tentulah perasaan sedih itu hadir dalam diri saya kerana memikirkan akan "kesunyian dan keseorangan" saya nanti,apabila dia berjaya dalam permohonannya itu.

Bersama teman sekerja sewaktu meraikan majlis perpisahan.
Kini, selepas hampir tiga bulan berlalu, saya mulai memikirkan kembali doa-doa saya saat mengadu kepadaNya, supaya diberikan saya teman pengganti yang dapat saya bekerjasama dengannya, yang akan sentiasa dan ingatkan saya padaNya, dan akan menjadi teman supaya dapat saya bergurau senda melepas lelah  setelah seharian bekerja. Tidak lupa juga, lewat doa saya,saya mohon semoga pengganti teman saya nanti,boleh mendengar keluhan dan luahan saya jika saya perlukan.

Sebenarnya itu jugalah doa-doa saya sejak melanjutkan pelajaran ke Universiti, ketika usia saya 20 tahun. Pun lebih kurang begitu jugalah doa saya tatkala akan menyambung pengajian dalam KPLI. Saya sangat mementingkan dengan siapa saya berkawan dan siapa mereka di sekeliling saya. Pengalaman lalu, banyak mengajar dan mengingatkan saya, betapa besar dan penting peranan teman-teman dan rakan di sekeliling kita.

Hanya semalam petang. Hanya Semalam. Barulah tersingkap bagaimana Allah memakbulkan doa saya. Itupun, saya tersedar, tatkala jam menghampiri 6 petang, setengah jam lagi tugas saya akan berakhir di sekolah. Itupun setelah, saya mendengar teman sekerja yang boleh saya anggap adik kepada saya, berkongsi ceritanya kepada saya.( mungkin melepaskan beban yang tidak tertanggung di mindanya). Dan itu bukan luahan pertama yang saya dengar untuk hari itu. Seingat saya, hampir empat luahan dari teman yang berbeza yang saya dengar sepanjang hari semalam.

Rupanya, Allah menjawab doa saya dengan cara begini. Sudah sampai waktunya, bukan orang lain yang akan mendengar luahan atau aduan saya, bukan orang lain yang harus bimbing saya dekat kepadaNya, bukan orang lain yang harus menjadi teman berkerjasama saya. BUKAN ORANG LAIN. Tetapi SIAPA ?

Sebenarnya, menurut Allah, SAYALAH yang sepatutnya menjadi pendengar kepada segala luahan teman-teman. Sudah tiba waktunya, SAYALAH yang harus menjadi pembimbing kepada orang lain kembali kepadaNya  atau dekat denganNya. Ya, bila dihitung usia yang semakin bertambah (tua ini ), saya bukan lagi seorang remaja, yang perlukan teman untuk menyediakan bahunya untuk saya menangis, bukan lagi. Saya ialah seorang dewasa yang sudah sepatutnya menjadi teladan.

Begitulah, begitulah...DIA menjawab doa-doa saya...Alhamdulillah.

( Ini entri re-post yang pernah saya publish 2 tahun lalu.Semoga menginspirasikan anda yang membacanya.Terima kasih sudi baca dan boleh kongsikan jika suka:)

Post a Comment

0 Comments