Kematian Yang Dicemburui

Dengan Bismillah dan Salam Sejahtera,
Saat saya mencari "sesuatu" untuk dikongsi sempena datangnya Bulan Muharam kali ini, hati saya tergerak pula untuk membaca post terkini seorang Ustaz yang memiliki laman SaifulIslam v2. Tajuk Post Ustaz tersebut mengundang tanya dibenak saya. Adakah orang yang sama yang beliau maksudkan dalam entrinya itu? Kebetulan, saya baru sahaja mendapat tahu akan pemergian seorang bekas pelajar kami dengan nama yang sama semasa saya bekerja di SERI Al Huda, Gombak melalui Facebook seorang teman. Ah, bukan kebetulan tetapi perancangan Ilahi.Itu yang tepat. Tiada hal kebetulan jika kita yakin semua yang berlaku adalah kerana izin dan PerancanganNya.

Takdir Ilahi dan Tadbir Insani 

Benarlah ucapan Ustaz Hasrizal dalam post terbarunya itu. Antara Takdir Ilahi dan Tadbir Insani.Kita merancang, Allah jua merancang.Namun perancangan Allahlah jua yang lebih baik kerana dia merancang dengan penuh cinta dan kasihNya kepada semua hambaNya.Allahurabbi. Saat mengetahui berita kematian Ahmad Ammar, saya tergerak hati untuk menjadi "pengintai" kepada facebooknya!.Saya ingin tahu lebih panjang segala cerita berkaitan kematian beliau yang dicemburui rakan taulan.

Kematian Yang Dicemburui


Ini bukanlah kalimah yang saya cipta sendiri melainkan saya mendapatnya dari salah seorang pengirim ucapan takziah di laman muka buku Ahmad Ammar ( yang kini sudah pun disemadikan di Tanah Perkuburan Perkuburan Eyub Sultan. Tempat Ammar disemadikan mengadap Laut Golden Horn. Tanah perkuburan yg menempatkan lebih 60 para sahabat nabi, awliya, panglima Uthmaniyyah dan orang ternama. Takdir ALlah, Dato Bandar Eyub beri pengecualian rakyat Malaysia pertama ini. SubhanaLlah.)

Ya, kerana itulah saya menulis entri ini dengan tajuk yang begitu: Kematian Yang Dicemburui.Saya ingin kongsikan, beberapa ucapan takziah daripada kalangan sahabat Ahmad Ammar, Semoga menjadi pendorong dan semangat kita dalam menyelusuri setahun mendatang sempena Hijrah ini dan juga hari-hari seterusnya jika masih ada usia yang dipinjamkanNya.


Ucapan Takziah Pertama 
Hidup dikelilingi orang2 soleh, mati pula bersemadi jasadnya di kelilingi jasad orang2 Soleh. Takdir Allah buat hambanya yang terpilih.
Adindaku Ahmad Ammar, bersemadilah engkau di sana. Allah menyayangimu, Sungguh Hidupmu bersama perjuangan, matimu pula ketika dalam perjuangan, ditakdirkan Allah, jasadmu juga bersama para pejuang-pejuang agama Allah yang mati mereka juga di dalam perjuangan.
Di Istanbul, selain daripada Fatih, Eyub merupakan tempat kegemaran saya. Di sinilah letaknya Maqam Abu Ayyub al-Ansori, sahabat Nabi yang mulia. Merupakan sebahagian daripada pahlawan Islam daripada Angkatan Pertama tentera kaum muslimin di dalam cubaan menakluk Kota Konstantinopel. Mulai hari ini, Eyub dan Istanbul akan sentiasa dekat di hati.
Buat anak-anak muda di luar sana, sempena tahun baru hijrah ini, jika tidak dapat berazam jadi orang soleh, sekurang2nya berazamlah untuk dekat dengan orang2 Soleh. InshaAllah, akhir hayat kita akan diiringi oleh orang-orang soleh, didoakan ruh kita oleh orang2 soleh, inshaAllah semoga kita juga akan ditempatkan di kalangan orang2 soleh.
Ucapan Takziah Kedua
Ahmad Ammar disemadikan di Perkuburan Eyub Sultan. Tanah perkuboran yg menempatkan lebih 60 para sahabat nabi, awliya, panglima Uthmaniyyah dan orang ternama.
Ammar,Kau di tempatkan bersama orang sholih. Kau menjadi sejarah agung.Ingatkah, dulu kita pernah bersahabat,Di waktu kecil kita yg riang?
Aku bangga.Tetapi lebih-lebih lagi aku malu.Bila terkenangkan nasib diri:Mampukah aku menemanimu.Layakkah aku di tempat itu?

Ucapan Takziah Ketiga 
Mati itu pasti, sungguh, sang mukmin tidak takut akan mati, aku? Badan mengigil-gigil saat mati cuma kunjung sekitar. Satu-satu berita kematian muda singgah di cuping telinga. semua bikin aku terpana. terkesima. Dek kerana dekat, dek kerana terikat tali kenal.
budak pandai semua ambil medik, ambil engine. last2 kerja duduk bawah pemerintah zalim dan jahil. tak ramai yang cuba naik atas nak ubah sistem. sepatutnya kita budak pandai ni yang ambil tampuk pemerintahan"
Ya. Pertemuan akhir Ramadhan lepas sungguh bikin aku terkejut, bikin aku kagum.Bisik hatiku "hebat cita-cita kawan aku ni" buat aku terbayang utopia masa depan ummah pasti bermoral tinggi. 
Pergi, pergi. Orang baik biasa pergi awal. Sayang Allah pada kau pasti tebal. Aku dan yang lain masih disini. Mengharungi badai ilmu untuk bekal diri.Tapi aku bukan kau. Jujur, aku lebih banyak fikir periukku, banding engkau, periuk Malaysia.semoga pemergianmu buat aku sedar, hidup itu untuk Islam bukan hanya seronok berlegar.

Penutup Kematian Yang dicemburui


Saya ingin mengambil iktibar dengan kematian yang dicemburui ini. Anak muda ini dengan cita-cita murninya, dengan akhlak terpujinya dan dengan rancangan masa depannya, layakkah saya dan kita untuk berasa cemburu ?. Layakkah dengan berasa cemburu kita mendapat kesudahan mati yang baik sepertinya? Semoga Tuhan merahmati roh anak muda ini kerana disaat kematiannya, masih menjadi peringatan kepada orang-orang yang mahu berfikir.Masih memberi manfaat kepada kita semua.Allah...

Maaf saya pohon dari seluruh keluarga Ahmad Ammar, jika bingkisan Hijrah saya khususnya untuk pembaca di blog ini mengundang pilu dan kesedihan yang berpanjangan. Maaf juga saya meminjam beberapa foto dari facebook Ahmad Ammar tanpa izin keluarga Ammar. Saya hanyalah seorang Guru Kecil kepada seorang anak murid yang berjiwa besar ini.Maafkan saya dan semoga catatan ini memberi manfaat dan kebaikan yang banyak kepada semua pembaca di blog ini.amin. 

Al Fatihah kepada Ahmad Ammar b Ahmad Azam.( Pelajar Tahun kedua mengkhusus dalam bidang Sejarah di Marmara Universiti, Turki.)

Ikuti catatan yang diperolehi dari dalam beg sandang anak muda ini tentang : Redha Allah dan Redha Manusia.Semoga kita beroleh manfaat darinya...

Post a Comment

0 Comments