Kisah Lelaki Pertama Dalam Hidupku

Dengan Bismillah dan Salam sejahtera,
Seingat saya, jarang sekali saya berkongsi di blog personal ini akan kesedihan atau kerinduan saya kepada seseorang. Menjelang Aidil Adha ini, kenangan seumur hidup terhadap lelaki pertama dalam hidup saya, mengamit ruang memori saya kembali. Kerinduan itu datang tanpa dapat saya tahan lagi.

Kisah Lelaki Pertama Dalam Hidupku


Bagaimana harus saya mulakan catatan pada entri kali ini ye? saya ingin bercerita tentang lelaki pertama dalam hidup saya. Lelaki pertama yang mengajar saya alif ba ta, lelaki pertama yang bercerita kepada saya tentang kisah dari kitab Mustika Hadith (Kitab ini adalah hadiah kak Uda saya kerana menang dalam pertandingan menulis,kalau tak silap saya ).Ketika itu saya berusia lingkungan 5-6 tahun.

Saya masih ingat dengan jelas, kulit buku itu berwarna hijau, dengan tulisan berwarna emas, dalam tulisan jawi.Lelaki pertama ini memang tidak jemu membacakan kepada saya kisah dari kitab ini. selalunya ditempat yang sama, berhampiran jendela rumah felda ( rumah lama) kami sekeluarga.

Saya tidak pasti adakah saya yang akrab dengan lelaki pertama ini berbanding ahli keluarga yang lain atau lelaki pertama ini yang memanjakan saya?Saya sering mengikut lelaki pertama ini ke kebun kelapa sawit, katanya untuk dijadikan teman.Sebagai balasan kerana menemaninya ke kebun, lelaki pertama ini akan membelikan saya roti bun yang berinti coklat.Saya masih ingat rasanya hingga kini.memang sedap!

Sebenarnya, sehingga usia saya dewasa, saya tidak pernah memeluk lelaki pertama ini. tetapi saya terlalu ingin buat begitu atas segala pengorbanan dan kasih sayangnya kepada saya. Dan Tuhan memahami hasrat saya, suatu hari sebelum pulang semula ke Kuala Lumpur ( kerana sudah berkahwin dan mengikut suami ) saya beranikan diri untuk memeluk lelaki pertama ini. Niat saya ketika itu, saya tidak mahu hanya berpeluang memeluknya, ketika tinggal jasadnya sahaja.Dan Alhamdulillah, saya berjaya melakukannya setiap kali saya menziarahi lelaki pertama yang saya kasihi ini.

Lelaki pertama yang saya kasihi ini, sangat saya kagumi kesabaran dan kegigihannya dalam menjaga solat dan ibadahnya. Lelaki pertama ini sanggup berhujan, berjalan dalam kedinginan subuh, asalkan dapat berjemaah di surau. Dialah lelaki pertama yang sentiasa ingatkan saya tentang solat. Lelaki pertama yang pernah marahkan saya kerana membuang biji sawit ke dalam  longkang kerana saya sudah keletihan untuk mengutipnya ( sedangkan dia selalu berpesan kepada saya bahawa sebutir biji sawit itu juga rezeki dariNya), lelaki pertama yang membelikan saya baju gaun berwarna kuning air tapi baju itu jatuh ke dalam lopak air dan kotor, lelaki pertama yang membelikan saya baju kurung berwarna hitam berbunga oren ( dengan harga yang mahal ) demi ingin melihat saya gembira di pagi raya. Lelaki pertama yang bersetuju mewalikan pernikahan saya, Lelaki pertama yang sangat saya rindui tika ini dan tak mungkin saya dapat menemuinya lagi...



Al Fatihah buat Lelaki Pertama dalam hidup saya yang telah kembali ke hadrat Ilahi pada 2 Disember 2010,ketika sedang mengerjakan haji di Mekah ketika usianya 67 tahun. Meskipun saya mendapat khabar duka dari Mekah, saya yakin ia sebenarnya khabar bahagia buat lelaki pertama dalam hidup saya..


Saya akan sentiasa merindui lelaki pertama ini. Rindukan saat dia membacakan kitab Mustika Hadith..

Entri ini saya post semula sempena Aidil Adha tahun 1434 h. Selamat menghayati dan meraikan ibadah korban kepada semua. Usah pandang sepi kecilnya pengorbanan itu kerana kita tidak tahu nilainya di sisi Allah itu bagaimana...

Post a Comment

0 Comments