Hikmah Misteri Kehilangan Pesawat MH370

Dengan Bismillah dan Salam Sejahtera,
Pertama kali seumur hidup saya dikejutkan dengan berita kehilangan pesawat dari Malaysia Airlines System (MAS) iaitu MH370.Tambah mengejutkan lagi apabila pesawat itu dikhabarkan terbang dan beroperasi dalam kondisi yang baik.Allahuakbar!Maha suci Allah yang menguasai segala yang dibumi dan dilangit. Saya mendapat berita ini ketika dalam perjalanan ke Gopeng, Perak kerana menghadiri Majlis Perkahwinan sepupu sebelah suami. Ketika itu jam sudah menunjukkan ke angka 9 pagi.lewat beberapa jam daripada anda semua yang mungkin telah mengetahui tentang berita ini seawal jam 8 pagi.

Sumber Berita di Blog

Beberapa hari ini, sejak berita kehilangan pesawat MH370 ini diketahui umum, saya sekadar menonton di kaca televisyen dan sekali sekala singgah di beberapa blog rakan blogger yang berkongsi maklumat, yang kebanyakannya di kongsi daripada sumber berita lain seperti TV3, Astro Awani, UtusanOnline, Sinar Harian dan BeritaHarian Online. Ada juga yang mendapat bahan berita daripada perkongsian teman-teman di facebook, laman Twitter dan juga medan bualan alam maya di whatapps atau We Chat.

Berfikir Sebagai HambaNya

Ya, begitulah yang saya fikirkan sejak pesawat MH370 itu dilaporkan hilang dengan penuh misteri. Apa lagi yang dapat kita jawab, jika segala ilmu sains dan teori berkaitan tidak dapat mengesan dan menghurai apa yang sedang berlaku. Jangan degil dan keraskan hati dan enggan mengaitkan walau sedikitpun kejadian yang berlaku dengan kuasa Tuhan.Sebagai HambaNya yang kerdil, apa sahaja yang kita hadapi, semuanya pasti berkaitan dengan kehendakNya.Percaya pada Qada dan Qadar. Ya itulah, kita sebagai seorang muslim harus berpegang.

Hikmah Misteri Kehilangan MH 370

Jangan takut memikirkan apakah hikmah terjadinya peristiwa ini.Saya sempat berseloroh dengan rakan setugas, ketika kami sama-sama sedang menikmati makan tengahari di kantin sekolah.Antara lain saya lontarkan pandangan begini;
Sebenarnya, ada hikmah apa yang berlaku kan, kalau tidak kita asyik sibuk cerita pasal gossip artis je, bila ada kejadian kapal terbang hilang yang misteri ni, semua orang tak peduli hal lain dah, melainkan nak tahu perkembangan kehilangan pesawat MH370 ni..
Rakan lain juga menyetujui hal ini. Banyak hikmah sebenarnya yang kita perolehi apabila hal ini berlaku. Jika anda punya masa, luangkan untuk berfikir sejenak dan renungkan apakah hikmah terjadinya peristiwa ini kepada diri kita khasnya. Mari kita renungkan dan muhasabah bersama, apakah kita memikirkan hikmah-hikmah ini :


Hikmah Misteri Kehilangan MH370

1. Kalau selama ini, kita tidak peduli apa jadi dalam negara kita, kali ini kita belajar mengambil berat dan prihatin akan yang berlaku dalam negara kita. Sekurang-kurangnya kita belajar mengambil berat dan tahu bahawa bukannya mudah sebenarnya mengurus negara apalagi dalam keadaan sekarang dimana negara kita sedang mendapat perhatian dunia kesan kehilangan pesawat yang belum terjawab ini.

2. Kalau selama ini kita lebih suka bercerita tentang keburukan dan aib orang, tapi dengan kejadian yang sedang berlaku, kita belajar untuk kunci mulut atau pendamkam sahaja hal keburukan orang, kerana rakan kita sendiri sudah tidak berminat untuk sama-sama bergossip.Tiada yang lebih penting melainkan semua nak tahu tentang perkembangan terkini kehilangan pesawat MH370.

3. Secara tidak langsung juga, apabila kita mengikuti perkembangan berita dan bual bicara oleh segala pakar dalam bidang penerbangan, maritim dan yang lainnya,kita belajar tentang ilmu sains penerbangan dan lain-lain yang selama ini tidak kita peduli ( sebab tiada kaitan dengan kerjaya atau bukan minat kita ).Kita jadi faham, sampai boleh berkongsi info ini dengan sesama rakan setugas.

4.Selama ini, kita banyak mendengar tentang pelbagai bencana dan mala petaka yang berlaku di negara luar, kita melihatnya dan mendengarnya dan berfikir kalau hal-hal pelik dan misteri mesti berlaku dekat luar negara sahaja, ( masa tu tak terfikir pun bahawa setiap apa yang berlaku itu, Allah jadikan ia pengajaran kepada mereka yang mahu berfikir).Kali ini bila ia berlaku dan berkaitan dengan pesawat dari Malaysia, barulah kita sedar bahawa Allah berkuasa menjadikan dan buat apa sahaja tanpa sebab.

5.Kita juga akhirnya tahu bahawa segala pakar dan segala ilmu yang dimiliki manusia tidak kan dapat menandingi ilmu Allah SWT.Peristiwa kehilangan pesawat MH370 adalah bahasa Tuhan kepada semua HambaNya.Marilah kita terus muhasabah mencari hikmah.

6. Nasib baik sahaja kita bukan penumpang atau krew yang terlibat dalam pesawat itu bukan? tetapi manalah kita tahu, mungkin sahaja mereka yang mengikuti penerbangan tersebut adalah insan-insan terpilih yang Allah takdirkan untuk menjadi pengajaran kepada orang lain di mukabumi ini.Ingatlah, bahawa kedudukan dan situasi seorang Muslim itu sentiasa dalam keadaan "menang" kerana jika mendapat perkara baik kita bersyukur dan apabila ditimpa musibah kita sabar maka kedua-duanya akan diberi ganjaran olehNya.

Jangan degil dan Fikirlah Dengan Nama Tuhanmu

Allah menegur dan mengingatkan kita dengan pelbagai cara.Ini juga adalah cara DIA mengingatkan kita akan kebesaranNya yang apabila ia menyebut Kun Fayakun, maka tiada sebarang kuasa lain yang dapat menghalangnya.Kepada ahli keluarga terdekat yang menjadi penumpang dalam pesawat tersebut, doa andalah semua yang paling makbul, kerana apabila anda berdoa dengan penuh emosi, maka itulah doa yang paling disukaiNya.Kita semua sentiasa berharap dan berdoa semoga Allah mendengar permohonan dan harapan kita.amin..

Post a Comment

0 Comments