Panduan Memohon Ijazah Sarjana Muda Perguruan Bagi Lepasan SPM 2013

Dengan Bismillah dan Salam Sejahtera,
Minggu lalu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2013 baru sahaja diumumkan. Tumpang seronok dengar kegembiraan para pelajar yang meraikan kecemerlangan masing-masing. Tidak ketinggalan para ibu bapa dan guru yang turut melahirkan rasa syukur dan gembira kerana doa dan komitmen mereka terhadap pembelajaran pelajar-pelajar ini membuahkan hasil yang melapangkan fikiran. AlHamdulillah.

Teringat zaman saya ambil SPM dahulu. Err..saya bukan budak pandai, jadi lepas SPM, walaupun dapat pangkat satu, namun ianya belum cukup cemerlang dan melayakkan saya untuk terus layak ke universiti. Jadi, saya ambil pula STPM dengan semangat dan harapan untuk menjejakkan kaki ke universiti seperti rakan-rakan baik yang berjaya ke universiti dengan tiket SPM mereka.

Panduan Mohon Kursus Perguruan Bagi Lepasan SPM 
Kepada pelajar lepasan SPM 2013, yang berminat dalam kerjaya perguruan, anda boleh membuat permohonan dalam Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda perguruan dengan Kepujian (PPISMP) yang ditawarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Program ini dibuka bagi ambilan bulan Jun 2014.

Iklan Permohonan PPISMP :

1. KETERANGAN PROGRAM  
1.1 Nama Program :
  Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan       (PPISMP)
1.1.1 Program ini dikhususkan untuk melatih bakal guru di Institut Pendidikan Guru           (IPG) yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dalam pelbagai bidang pengkhususan bagi keperluan di sekolah rendah.

1.1.2 Calon dikehendaki mengikuti PPISMP selama dua belas (12) bulan/dua (2) semester di IPG berkenaan yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

1.1.3 Calon yang LULUS Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan akan diberikan Sijil Tamat PPISMP dan DITAWARKAN mengikuti pengajian Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) selama empat (4) tahun/lapan (8)semester di IPG yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

1.1.4 PPISMP dan PISMP dijalankan menggunakan Mod Sepenuh Masa.

2. SYARAT DAN KELAYAKAN ASAS  
2.1 Warganegara Malaysia.  
2.2 Umur tidak melebihi 20 tahun pada 30 Jun 2014 iaitu lahir pada atau selepas 30 Jun 1994.  
2.3 Calon mesti sihat tubuh badan.  
2.4 Calon mesti aktif dalam kegiatan kokurikulum.  
2.5 Calon mendapat gred cemerlang. Makluman Gred cemerlang merangkumi gred A-, A dan A+ dalam mana-mana lima (5) mata pelajaran di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). 
2.6 Calon mesti mendapat sekurang-kurangnya gred kepujian dalam mata pelajaran yang berikut iaitu:i. Bahasa Melayu; dan ii. Sejarah.
2.7 Calon mestilah lulus Bahasa Inggeris.  
2.8 Calon memenuhi syarat bidang pengkhususan (Rujuk Syarat Pengkhususan dalam permohonan online). 

3. Cara Memohon :

1.Permohonan hanya boleh dibuat secara dalam talian (online) dengan melayari laman 
sesawang Kementerian Pendidikan Malaysia di alamat : http://www.moe.gov.my mulai 10 Mac 2014.Talian bagi membuat permohonan secara online ialah :http://apps.moe.gov.my/smg/02/020002/spcg/index.cfm
 
2.Permohonan calon akan ditapis berdasarkan syarat kelayakan dan kriteria yang telah ditetapkan oleh KPM. Calon yang terpilih mesti menduduki dan LULUS Ujian Kelayakan Calon Guru (UKCG) sebelum layak dipanggil temu duga.
 
3.Pemohon dinasihatkan melayari laman sesawang : http://www.moe.gov.my bagi mendapatkan maklumat iklan, Ujian Kelayakan Calon Guru (UKCG), temu duga, bidang pengkhususan dan gred minimum serta kalendar aktiviti sebelum membuat permohonan.  

4.Calon dibenarkan mengemukakan SATU (1) permohonan dan boleh mengemaskini pada bila-bila masa sahaja.  

5.Permohonan hendaklah disahkan dan dihantar sebelum tarikh tutup permohonan. Permohonan yang berjaya dihantar akan menerima nombor rujukan sebagai pengesahan.  

6.Maklumat yang tidak benar dan tidak lengkap boleh mengakibatkan permohonan ditolak.

Pertanyaan dan Maklumat Lanjut PPISMP 2014

Sila hubungi alamat berikut sekiranya ada sebarang pertanyaan berkaitan dengan permohonan :  

                               INSTITUT PENDIDIKAN GURU MALAYSIA
KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
ARAS 1, ENTERPRISE BUILDING 3, BLOK 2200
PERSIARAN APEC, CYBER 6,63000 CYBERJAYA 
(u.p: Unit Pengambilan Pelajar, Sektor Hal Ehwal Pelajar dan Hubungan Luar)
No. Telefon : 03-8312 6731/6720/6733/6769/6723  
     
 

Post a Comment

0 Comments