Tips Berkomunikasi Dengan Pasangan Yang Seusia

Dengan Bismillah dan Selamat Sejahtera,
Asalnya saya rasa "malu" untuk berkongsi istimewanya September ini kepada saya dan dia.Yelah kan, saya pegang dan ingat lagi pesanan blogger senior supaya jangan dikongsi semua yang kita ada di Blog ini. Sebabnya, kita tidak kenal dan tida tahu manakah yang kaca, manakah si permata di alam maya ini.Apapun, bersangka baik itu lebih afdal.InsyaAllah. Hukum alam ini, jika kita fikir dan harap yang baik, insyaAllah yang baiklah juga yang akan datang.Tak gitu rakan pembaca semua ?


Hmm..apa pula yang menariknya dengan September ini ya? Pertamanya tentang kami yang akan meraikan ulangtahun kelahiran pada bulan ini. Sedihnya kami, kerana sejak hidup bersama dan seingat saya sejak kami mempunyai ikatan, kami tidak meraikan ulangtahun kelahiran kami pada tarikh yang sepatutnya. Sebaliknya, kami hanya meraikannya pada pertengahan tarikh antara hari lahir kami yang bezanya selang seminggu.Ya, kami rakan sebaya yang kini menjadi pasangan ibu bapa kepada 5 cahayamata.

Saya tidak pasti, bagaimana pasangan sebaya lain mengemudi rumahtangga mereka. Tetapi bagi saya, sedikit pengalaman selama 10 tahun ini mungkin dapat dijadikan panduan kepada rakan-rakan yang akan berumahtangga atau sudah berumahtangga.

Tips Berkomunikasi Dengan Pasangan Yang Seusia

komunikasi dengan pasangan

1. Bina Rasa Hormat Kepada Pasangan
  • Perasaan hormat ini jika tidak kita asuh sejak awal perkahwinan, maka ia dapat mempengaruhi keputusan atau tindakan yang dibuat dalam rumahtangga kita.Hal ini kerana kita berkahwin dengan pasangan sebaya, yang mungkin telah kita kenal sejak alam persekolahan atau alam kolej dan sebagainya.Sama ada anda suami atau isteri, perasaan hormat ini harus selalu ada dalam perhubungan.Percayalah rasa hormat akan meningkatkan keyakinan suami atau isteri dalam menjalankan peranan masing-masing.

2. Gunakan Panggilan Yang Sesuai Kepada Suami
  • Agak pelik dan aneh jika dalam hubungan sesebuah rumahtangga pasangan Melayu, anda memanggil pasangan dengan nama sahaja. Terutamanya panggilan untuk suami. Yelah kan, jika berkahwin dengan bekas rakan sekolah atau seuniversiti, pasti kekok untuk memanggilnya Abang. Sedangkan dulunya mungkin, dia "kawan gaduh" kita.haha.Cara untuk atasi masalah ini, berbincang pada hari pertama pernikahan untuk memilih panggilan nama yang sesuai.
  • Bagi si isteri pula, tiada masalah untuk panggilan nama, cuma jika ingin bina perhubungan yang lebih intim, boleh panggil nama yang lebih menunjukkan kemesraan anda berdua.
3. Berikan Pujian atau Penghargaan Atas Kebaikan dan Pertolongannya
  • Suami atau isteri manusia biasa. Masing-masing punya kelebihan dan kekurangan di mana-mana. Jadi, apabila suami atau isteri melakukan sesuatu yang mengembirakan anda, pujilah dan hargailah ia.Menurut pakar motivasi, pujian terhadap pasangan dapat meningkatkan keyakinan dan meningkatkan harga diri, suami terutamanya.
  • Lelaki dikenali dengan sikap ego yang kadang-kadang tidak bertempat (opss..). Sebagai isteri, kita haruslah pula membantu diri suami dengan meningkatkan egonya. Ini bukan saranan pandai-pandai saya ya, saya memperolehinya selepas menonton siri rumahtangga cemerlang di televisyen.Apapun bergantung kepada situasi dan kebijaksanaan anda mengendalikan hal tersebut.
4. Sentiasa Berbincang dan Saling Memaklumkan
  • Pasangan sebaya dalam rumahtangga mempunyai kecenderungan saling mendahului antara satu sama lain. Hal ini mungkin disebabkan sikap " siapa lagi bijak, siapa lagi bagus" dan sebagainya.Jadi, bila anda mempunyai pasangan yang sama umur, cara atasi masalah ini ialah dengan sentiasa wujudkan ruang perbincangan dan memaklumkan kondisi sebenar dalam sebarang situasi dan apa jua permasalahan yang berlaku.
  • Dalam hal ini, anda disarankan menjadi "sahabat baik" yang sedang berbincang untuk mencari jalan penyelesaian. Jika anda berbincang dengan watak suami isteri, karakter untuk sesiapa mengalah agak sukar kecuali anda mendapat isteri yang mudah bertoleransi atau suami yang boleh menggunakan kuasa budi..:)
5. Atasi Pertengkaran Dengan Peranan " Best Friend "
  • Wahh, ini seronoknya menjadi pasangan yang mempunyai usia yang sebaya. Dalam hubungan rumahtangga, ada kala menjadi rakan baik lebih menarik terutamanya jika "perang dingin" sedang melanda.Dengan menjadi Sahabat baik kepada pasangan, pertengkaran tidak akan berlanjutan kerana masing-masing sudah belajar dan memahami perasaan antara satu sama lain.
  • Seorang sahabat baik tentunya tidak sanggup melihat teman baiknya berduka atau bersedih kerana dirinya. Seorang sahabat baik akan cepat risau jika si teman tadi tidak mahu menegurnya apatah lagi jika bermasam muka apabila melihatnya.Maka, apabila watak sahabat baik wujud dalam perhubungan pasangan sebaya, pertengkaran atau perselisihan faham tidak akan berkekalan dalam tempoh yang panjang.
Penutup
Tips Berkomunikasi Dengan Pasangan Yang Seusia yang saya kongsikan ini adalah berpandukan pengalaman sendiri yang telah berkahwin dengan pasangan sebaya selama hampir 10 tahun dan dengan sedikit panduan ini saya harap dapat membantu mana-mana pasangan yang mempunyai masalah komunikasi dalam rumahtangga.

Sebarkan kepada rakan taulan anda jika ia membantu anda menyelesaikan masalah anda. Selamat Menghargai Pasangan anda dan Menerima dirinya Seadanya. 

Post a Comment

0 Comments