Fikir Orang Lain

Berbuat kebaikan kepada orang lain, maknanya kita berbuat baik kepada diri sendiri
Al Hamdulillah. Terasa rindu kerana agak lama juga saya tidak mengunjungi blog saya sendiri. Cuti sekolah kali ini saya berkesempatan bertemu ahli keluarga dan bonda  di desa Felda tercinta. Nikmat berkeluarga dan bersaudara, pasti bukan semua orang merasainya. Jadi jika anda seperti saya, bersyukur itu bukan jatuh hukum harus lagi, tapi sudah sepatutnya wajib bersyukur dengan kurnia Ilahi ini.

Awal pagi ini, saya menerima SMS dan panggilan telefon dari GPK Tadbir dan juga Guru Besar sekolah. Kedua-duanya menghantar maksud  yang sama : saya dikehendaki datang ke sekolah, kerana ada beberapa tugas yang perlu dibereskan, sebelum sekolah dibuka semula.

Jika ikutkan giliran bertugas, saya sepatutnya hanya akan datang ke sekolah  pada Isnin depan, tapi jika sudah "bos" yang memanggil ke sekolah, maka saya turutkan saja. Kalau mahu berkira dan fikirkan mood yang masih ingin bercuti, saya tak akan reply sms itu atau menjawab panggilan dari GB. Walau apa pun, saya terpaksa sedar diri, (kadang-kadang diri kita pun kena disedarkan selalu..) bahawa saya harus berfikir matang, sematang usia saya yang Allah pinjamkan.Saya juga harus belajar berfikir panjang dan membuat keputusan dengan memikirkan tentang orang lain.

Begitulah kehidupan kan?Sebenarnya, ingatan GB tentang Guru Pusat Sumber Sekolah yang masih belum sihat (kerana baru sahaja menjalani pembedahan ), maka saya dan beberapa teman lain dikehendaki mengambil alih tugas di PSS  buat sementara waktu. Saya pun teringat pesan Kak Aida (Guru Penyelaras PSS ) kepada saya sebelum beliau menjalani pembedahan, beliau mengharapkan bantuan saya untuk mengambil alih beberapa tugas perlu berkaitan PSS.

Saya positifkan minda dan mengambil peluang ini untuk mengemaskini barang dan buku di Bilik Khas, di mana saya ditugaskan sebagai penyelaras. Lagipun bilik khas tersebut akan di ubahsuai sepanjang cuti ini.Jadi, saya anggap inilah hikmahnya saya diminta ke sekolah. Sebenarnya berfikir panjang untuk kebaikan orang lain, bukanlah mudah.Tetapi itu tidak bermakna kita akan rugi jika kita terpaksa susahkan diri sedikit untuk senangkan orang lain.Orang lain itu pun bukan sesiapa, kawan kita juga.

Semasa menuntut di Universiti Kebangsaan, saya pernah kenal seorang teman (lelaki ) yang mempunyai sifat yang begitu mengutamakan orang lain. Kami memanggilnya Abang Zul.Saya mengenali Abang Zul kerana dia selalu membantu teman baik saya, terutamanya jika teman saya dalam kesusahan. Sifatnya yang mengutamakan orang lain sangat ketara sehingga dia pernah memberitahu kepada saya, dia tidak sampai hati untuk berkata tidak, jika ada sesiapa yang mohon pertolongannya.Aduhai..baik hati sungguh lelaki ini.Saya agaklah, entah-entah dia pun dah jadi YB sekarang kot ?

Jika anda merasa keberatan untuk memikirkan tentang orang lain, pun tidaklah bermakna anda seorang yang "selfish" kan, mungkin anda punya pengalaman pahit, yang amat menyakitkan akibat asyik mengutamakan orang lain. Pepatah Melayu lama telah lebih dulu mengingatkan kita, buat baik berpada-pada..semuanya di atas iman anda..semoga anda sentiasa dirahmati Ilahi.Amin.


Post a Comment

0 Comments