Simpan Dalam Hati

Kebaikan juga namanya walaupun hanya diam daripada berkata yang menyakitkan

Wahh..sedikit sentimental entri saya kali ini kan ?Sebenarnya saya terkesan semasa menonton drama sinetron Nada Cinta di Astro Ria.Maklumlah cuti-cuti Malaysia, sementara tunggu Encik Husband saya pulang dari Office, maka saya dan anak-anak akan menonton drama itu.Saya tidaklah ekstrim sangat dengan drama ini, cuma sekadar melepaskan lelah setelah seharian dengan anak-anak di rumah. Kalau ikutkan, panjang lagi ucapan dialog watak dalam drama itu, tetapi saya mendapat ilham untuk menulis di sini dengan separuh ungkapan itu sahaja.



Banyak perkara dalam hidup kita, yang ada kalanya bila kita luahkan dan ucapkan kepada orang lain, ia menjadi beban kepada orang itu atau ia menjadi duri dalam hidup kita, kita jadi kecewa dan bersedih. Saya sendiri akui, ada hal-hal tertentu, yang saya tidak mahu kongsikan dengan sesiapa melainkan Allah Taala sahaja yang mendengarnya. Kadang-kadang kita takut, bila kita ucapkan atau luahkan apa yang kita rasa atau fikir, hal itu nanti akan melukakan orang yang mendengarnya.

Ada masanya saya akan menegur anak-anak saya supaya "simpan dalam hati " apa sahaja tentang keburukan atau kekurangan orang lain. Maklumlah anak-anak kecil yang masih dalam proses " melentur buluh dari rebung " ini ada kalanya cepat sahaja menyuarakan apa yang terdetik di hati dan minda mereka. Jumpa orang pelik atau salah sikit, cepat saja mulutnya complain. Bila kerap menegur anak begitu, hati saya sendiri akan menegur saya supaya "simpan dalam hati " sahaja jika ada apa-apa kekurangan atau keburukan orang lain yang saya nampak. Baru-baru ini saya ada membaca, seorang penulis blog menyatakan antara kebaikan diam ialah malaikat pun berasa lega dan tenang sewaktu menjalankan tugas mereka di bahu kanan dan kiri kita. Terasa agak lucu membacanya, tetapi begitulah. Bila kita tidak berkata-kata, maknanya diam kan ?

Kita tahu setiap apa yang kita lakukan, sehingga sebesar biji sawi pun akan di hitung di akhirat nanti, maka maksud saya "simpan dalam hati " itu dengan niat tidak mahu menjatuhkan air muka seseorang, tidak mahu buat teman tersinggung atau dengan tujuan menjaga situasi dan suasana.Teringat saya kata-kata seorang guru sastera saya semasa di tingkatan 6, katanya begini :

            " Adakalanya tidak mengetahui sesuatu perkara itu lebih baik, jika dengan mengetahui sesuatu perkara itu akan melukakan kita "

Sudah tentu entri saya ini bertentangan dengan konsep jujur dan berterus terang kan ?Jika kita tidak katakan atau luahkan apa yang kita rasa, adakah maknanya kita berbohong ?Memanglah berbohong namanya jika kita marah atau tersinggung, tetapi kita beritahu kita ok dan tidak marah, tetapi jika kita diam dan tidak berkata apa-apa, itu lebih selamat dan menjernihkan suasana. Manalah tau dengan berdiam dan tidak ucapkan apa-apa itu orang lain akan lebih mudah memahami kita.Harap-harap begitulah hendaknya.InsyaAllah...

Post a Comment

0 Comments