Dengan Bismillah,
Alhamdulillah, bersyukur sangat apabila Allah Gerakkan hati untuk mendalami dan menyertai dunia blogging ini. Anda bayangkan betapa mudah dan pantasnya kita memperoleh sebarang info dan juga semakin bertambah rasa kekurangan dan kebodohan diri..( aduss..) terutama apabila membaca artikel daripada blog-blog lain yang rajin berkongsi ilmu dan kepakaran.
Entri saya pada kali ini, sebenarnya kesan daripada bacaan saya di blog yang saya lawati. Saya hanya membaca sepintas lalu, dan tidak ingat nama blog tersebut, tetapi saya mohon doa ( kebaikan untuknya ) untuk penulis blog itu, kerana dengan membaca kisahnya, saya terfikir untuk menulis entri ini. Katanya, apabila pada suatu hari sedang dia dalam kesibukan dan kekalutan menguruskan akan seorang pelajarnya yang perlu dihantar ke hospital, dalam perjalanan itu, dia disapa seorang makcik yang inginkan bantuannya. Menurut si penulis blog, dia tidak dapat membantu kerana memikirkan akan terlambat untuk ke kelasnya. Selepas menolak untuk membantu, barulah dia tersedar, mungkin Tuhan ingin menduga imannya melalui makcik itu, lantas dia berpatah balik untuk membantu makcik tersebut, sayangnya makcik itu sudah tidak kelihatan.
Hujan gerimis juga petanda lintasan kebaikan dariNya
Pernah atau tidak anda memikirkan sesuatu, sehingga apa sahaja yang anda lalui,anda kaitkan ia dengan hubungan anda dengan Allah ? Sepatutnya, begitulah KITA. Hidup kita ini dalam gengamanNya. Apa sahaja yang datang kepada kita, kita harus belajar ingatkan diri sendiri : Semua dari Allah. Apapun sebab musababnya, hanya dengan izinNya, kita lalui, kita terima dan kita hadapi semuanya!
Termasuklah lintasan kebaikan yang datang kepada kita. kadang-kadang perkara itu remeh, leceh dan kita rasa tidak penting, tetapi dari mana datangnya lintasan kebaikan itu, jika tidak kerana DIA ingin menduga kita ?Kadang-kadang terfikir untuk menelefon, bersms,atau buat sesuatu yang akan gembirakan seseorang, tapi kita tangguhkan atau abaikan sahaja. Ada masa ingin memeluk anak-anak ketika mereka pulang dari sekolah, atau mencium dahi suami atau isteri ketika bangun dari tidur, tetapi kerana itu hanya LINTASAN di fikiran, kita terus buat hal yang lain.
Tanpa sedar, Tuhan sebenarnya telah kabulkan permintaan kita dalam doa-doa kita. Mungkin kita selalu berdoa semoga Tuhan sentiasa limpahkan kita dengan rezeki yang banyak, kejayaan dan kebahagiaan dunia dan akhirat. Lintasan-lintasan kecil yang membawa kita menuju kejayaan dan kebahagiaan berlalu begitu sahaja di depan mata. Kebaikan yang kita dapat atau kita perlu buat, itu juga sebenarnya rezeki kepada kita. Bersungguhlah selepas ini, semoga kita memanfaatkan setiap lintasan kebaikan yang Tuhan berikan...Amin.

0 Comments
Thanks Read This Entry:) Drop your comment, So I know That You Are Visit My Blog.Thanks In Advance My Sweet Readers!