KITA TENTUKAN USAHA

Dengan Bismillah,
Sepanjang dua minggu ini, fikiran saya sedikit berkecamuk. Manakan tidak, Saya berfikir apakah yang ingin saya belajar atau fahami daripada beberapa insiden yang saya lalui. Pertamanya, tatkala saya membuka akaun facebook ( biasanya selepas beberapa hari ) saya menerima mesej dari seorang anak buah yang baru mendapat keputusan peperiksaan SPM. Dari Nada mesejnya itu, ada lagu kesedihan yang bertandang.Dia masih bersedih kerana tidak mendapat straight A, sedangkan dia sudah pun mendapat 7A, cuma 1B dan 1C.. saya terpaku sejenak untuk memikirkan jawapan yang terbaik untuk mesejnya itu..

Kemudian, di sekolah pula, musim Ujian Bulanan baru sahaja berlalu. Di sekolah saya, murid-murid yang akan menduduki UPSR, akan mendapat seorang ibu angkat di kalangan guru. Dan saya menerima tiga orang anak angkat dari kelas yang berbeza. Suatu hari, ketika sedang berjalan keluar dari kelas terakhir saya, saya dihampiri oleh salah seorang anak angkat saya. Luahnya dengan nada kecewa kepada saya :

Cikgu, markah ujian saya semuanya turun, markah saya jatuh.."Suaranya kedengaran serak.

Baguslah turun...apa masalahnya..?saya sengaja pura-pura tidak mengerti. Lagak anak angkat saya yang sedikit manja itu, bertambah haru. Dia mengadu lagi.

masalahnya ialah, saya kena turun kelas kedua..luahnya lagi.

Saya pandang wajahnya dan katakan begini : Kelas mana pun tidak kisah, asalkan awak mahu berusaha dan belajar. Markah turun tu baguslah, sebab awak ada peluang untuk perbaiki lagi. awak tahu yang mana kena tingkatkan lagi. kalau semua dah ok, awak nak belajar apa lagi..betul tak..?

anak angkat saya yang usianya 12 tahun itu, seakan cuba mengerti maksud pujukan saya. Dia menghela nafas dan berlalu selepas mengucapkan terima kasih dan bersalaman dengan saya.

Dua senario ini benar membimbangkan naluri keibuan dan keguruan saya. Di mana silapnya? sistem pendidikan kah, cara berfikirkah, atau harapan ibu bapa dan guru yang terlalu realistik ?

Saat -saat begini saya teringat guru kaunseling saya semasa saya di tingkatan 3, dan akan mengambil SRP (sekarang PMR ) ketika itu. Nasihatnya kepada saya dan rakan-rakan ketika itu ialah,niatkan belajar adalah untuk memperkembangkan potensi dalam diri. Bukan untuk mendapat A atau markah tinggi semata-mata.

Tidak salah menyimpan hasrat untuk mencapai yang terbaik, tetapi haruslah seiring dengan pendidikan bahawa harus rajin berusaha, rajin berdoa dan bertawakal kepadaNya. Harus diingatkan jika tidak mendapat setelah melakukan itu semua,bukan Allah tidak sayang dan tidak mendengar doa kita.Allah tentukan dan takdirkan sesuatu pasti dengan sebab.Bersabar dan bersyukur itu penting.

Tugas kita sebagai hambaNya, ialah menentukan usaha dan cara, tetapi DIA yang akan tentukan pencapaian dan kejayaan usaha dan cara itu-Wallahualam...


Post a Comment

0 Comments