TuhanMU Ingin Menduga

Dengan Bismillah,
Saya selalu mendengar kalimah pujukan teman atau nasihat rakan iaitu Tuhan menduga kita sesuai dengan kesanggupan dan kemampuan kita menghadapinya...Terkadang saya terfikir juga, kemampuan dan kesanggupan bagaimanakah yang mereka maksudkan ? Anda pernah berfikir begitu? Anda pernah terfikir kemampuan bagaimana yang harus anda sediakan tatkala anda diuji ?

Menangislah..jika dengan begitu kesedihan kita dapat dileraikan..

Suatu hari, saya di sapa oleh seorang teman lama, kini kami sudah berjauhan kerana tuntutan tugas. Katanya dia asyik teringat-ingat akan saya beberapa hari ini, dan dengan menghantar mesej dia bertanya khabar saya.

Tatkala saya membaca mesejnya, terus sahaja mengalir air mata saya. Manakan tidak, saat dia menyapa dengan mesejnya yang begitu, saya memang sedang bersedih dan beberapa hari sebelum itu, saya berdoa semoga Tuhan berikan saya teman buat saya meluah kesedihan. Saya tidak bersedia untuk berkongsi dugaan yang dihadapi dengan teman yang ada dekat dengan saya, kerana pelbagai sebab.

Mungkin begitulah yang dikatakan kekuatan kita menghadapinya. Ada sahaja teman yang bertanya khabar saat diri sedang diuji. Awal Ramadan lalu, saya terlintas menghantar pesanan menyambut Ramadan kepada seorang teman lama. Dia merupakan teman baik saya ketika di alam menengah. Daripada mesej itu,akhirnya saya mendapat perkhabaran yang sungguh menghibakan darinya. Dugaan yang tidak tertanggung bagi seorang isteri. Namun,dari ceritanya, saya tahu dia tabah dan redha dengan apa yang dihadapinya.

Benarlah. Dugaan Tuhan itu datang sesuai dengan kesanggupan kita menghadapinya. Bukan sahaja kesediaan hati dan minda yang menuntut kita tabah melewati UjianNya itu, keprihatinan teman dan semangat yang diberikan juga satu petanda bahawa DIA tidak meninggalkan kita sendirian tatkala diuji.

Jika anda sedang bersedih, dan tidak tahu bagaimana melerai kesedihan itu, ingatlah, Dia tidak meninggalkan kita keseorangan bersendirian menanggungnya. Mohonlah semoga DIA berikan kita cara, ilham, petunjuk dan panduan menghadapi kesedihan itu. Sesungguhnya, DIA jualah yang mengetahui segala...

Post a Comment

0 Comments