PADA SETIAP TAKDIRNYA

Dengan Bismillah,
Pada Setiap TakdirNya, sentiasa meyakini Dia tidak akan Memberi melainkan yang Terbaik kepada setiap hambanNya...

Seingat saya kali pertama saya dengar tentang Qadha dan Qadar ialah ketika menginjak usia 8 ke 9 tahun, ketika bersekolah agama di Sek. Agama Felda Tunggal, Kota Tinggi, Johor.Saya masih ingat Ustaz yang mengajar tika itu, dengan bulu matanya yang lebat, dan memiliki suara yang sangat merdu ketika mengalunkan azan atau bacaan Al Quran di sekolah. Saya ingat dengan jelas Ustaz yang berkongsi nama dengan penjaga Pintu Syurga ini, seorang yang tegas dan mudah tersenyum.

Seiring dengan masa yang mendewasakan kita, saya semakin memahami apakah sebenarnya yang ustaz saya ini maksudkan dengan Qadha dan Qadar.Lalu, catatan kali ini, ingin saya kongsikan dengan anda semua, pada setiap takdir dan ketentuanNya, semuanya hanyalah yang terbaik kepada setiap hambaNya.

Tatkala saya menoleh kepada kehidupan lalu saya, dan menyelusuri kehidupan masa kini saya, saya sedar semuanya telah disusun, ditentukan dengan begitu teliti olehNya.Saya akui, dalam menoleh kepada masa silam, ada jaluran putih hitam yang mewarnai perjalanan hidup saya. Pun, begitu, bila kita inginkan kehidupan yang lebih baik, dengan usaha dan keinginan yang tinggi, dipenuhi hasrat hati kita, terkadang kita mendapat seperti yang kita inginkan dan selaluNya Dia memberi lebih baik daripada yang kita harapkan. 

Ada kala, saya mentafsir sendiri hikmah takdirNya, saat dianugerahkan nikmat dunia yang saya sendiri tidak memintanya, sedangkan orang lain bertungkus lumus dan bersusah payah inginkannya!Benarlah dugaan Tuhan datang dengan pelbagai maksud. Kita sendiri yang sepatutnya tahu, adakah dugaan itu sebagai ujian keimanan, kafarah atas kealpaan atau peringatan atas kelalaian.

Catatan Hatiku : 
Pada Setiap TakdirNya, sentiasa meyakini Dia tidak akan Memberi melainkan yang Terbaik kepada setiap hambanNya...


Post a Comment

0 Comments