Nak Peluk Cikgu, Boleh..?

Dengan Bismillah,

Tahniah kepada semua warga guru kerana akhirnya berjaya mengakhiri sesi persekolahan tahun 2012 dengan jayanya. Saya juga sudah memasang beberapa azam agar cuti hujung tahun ini terisi dengan hal-hal bermanfaat khususnya untuk anak-anak saya dan juga rumahtangga.Jujur saya akui, sangat mendambakan cuti panjang ini, kerana inilah masa paling panjang saya dapat bersama anak-anak (walaupun saya akui, harus berhadapan dengan kerenah mereka yang macam-macam ).

Selamat Bercuti semua!..

Berminat dengan entri saya kali ini ? Sebenarnya cerita ini saya simpan sejak hari ulang tahun kelahiran saya yang kebetulan jatuh pada hari persekolahan, pada September lalu. Sebenarnya memeluk atau mendakap anak murid bukanlah perkara baru, kerana sebelum ini, semasa berkhidmat di sebuah sekolah agama Integrasi di Gombak, sering juga saya memeluk anak-anak murid saya ( tentunya yang bertuah itu murid puteri-puteri saya sahaja..).

Cuma peristiwa pertama yang berlaku di sekolah sekarang ialah apabila anak-anak murid saya minta izin untuk memeluk saya. Saya seakan terkejut dengan permintaan begitu. Tanpa lengah, saya saya sendiri yang memeluk mereka. Hal ini berlaku kerana ketika itu, mereka mengucapkan salam ulang tahun kelahiran kepada saya. Saya mengucapkan terima kasih dan spontan selepas itu, beberapa murid menghampiri saya, dan minta izin begitu. Saya berasa ganjil. Ganjil kerana murid saya minta dipeluk!

Sentuhan sebagai isyarat kita mengambil berat

Peristiwa kedua berulang semasa hari akhir persekolahan. Murid-murid tahun 6 yang akan menamatkan sesi sekolah rendah mereka di situ menemui para guru dan mereka saling bermaafan. Permintaan yang sama mereka utarakan. Saya juga menerimanya tanpa banyak soal dan memeluk mereka sambil membisikkan kata-kata semangat.

Begitulah, hal kecil yang memaksa saya berfikir panjang. Kenapa  murid saya begitu ?. Teringat juga pesanan pakar motivasi terkenal, sentuhan juga merupakan cara kita memberikan perhatian, isyarat yang kita mengambil berat dan sayang akan seseorang, dan melalui sentuhan, kita akan berasa lebih dihargai dan bertambah keyakinan diri.

Mungkin ini teguran dari Ilahi kerana saya semakin jarang mendekati murid-murid saya secara begitu walaupun tiada halangan kerana saya mengajar di sebuah sekolah perempuan. Atau mungkin juga, mereka merasakan saya seperti ibu yang ingin mereka sayangi dan kasihi. Mudah-mudahan begitu.

Apapun, saya berdoa semoga para ibu di luar sana tidak pernah gagal memeluk suami dan anak-anak anda dalam sehari kerana itulah petunjuk yang kita mengambil berat, kasih dan cintakan mereka!. Dan seperkara lagi, jika anda bersedia untuk buat begitu, lakukanlah dengan penuh kesungguhan ( peluklah mereka dengan erat )...

Post a Comment

0 Comments