Rindukan Hujan Lihatlah Bulan

Dengan Bismillah, 
Manusia biasa macam saya dan kita, ada waktunya mudah sahaja melupakan hal-hal berharga di depan mata, dan selalu sibuk memikirkan bagaimana nak dapat atau memiliki perkara lain atau benda lain yang bukan milik kita. Sudahnya, apabila kita tidak mendapat atau kehilangan apa yang kita ada, maka sibuklah kita menghargai hal-hal berharga itu. 

LIHATLAH BULAN


Sebenarnya, saya baru sahaja memahami keajaiban perihal "supermoon" yang dikatakan satu keadaan di mana bulan paling hampir dengan bumi dan ia menyebabkan bulan dilihat lebih besar dan dikatakan juga bentuknya tidaklah bulat seperti yang pernah kita lihat, sebaliknya bulan sebenarnya berbentuk bujur.

Indah juga melihat bulan dengan cahayanya yang redup itu kan? Eh, bukan ke bulan tiada cahaya, sebaliknya matahari yang meminjamkan cahayanya kepada bulan? Ok, fakta tentang bulan dan matahari ini, anda google lah sendiri ye.

Apa pula kaitan bulan dengan intro entri saya ni ya? Sementara Allah beri peluang, menyaksikan dan melihat sendiri keajaiban dan kekuasaanNya, lihatlah dan renung-renungkanlah akan indahnya melihat bulan penuh dengan saiz yang kelihatan lagi besar dari biasa kerana jaraknya yang hampir dengan bumi pada malam ini ( 23 Jun 2013/ Ahad ). Semoga saya dan kita semua menjadi hambaNya yang sentiasa bersyukur.

RINDUKAN HUJAN

Saya kira waktu-waktu begini, semua rakyat Malaysia rindukan Hujan. Hujan yang selalunya turun membasahi bumi, tetapi kita buat tidak peduli. Tiada sedikitpun yang dapat kita cernakan akan perihal turunnya hujan. Paling kurang pun, kita akan teringat lagu arwah Sudirman, tentang Hujan. Sehingga satu masa, dalam situasi sekarang apabila jerebu melanda saat musim kemarau dan pembenihan awang langsung tidak dapat dilakukan,kita harus berdoa dan merayu-rayu kepadaNya, supaya diturunkan hujan kepada kita semua.


Inilah kita, yang selalu sahaja jarang menghargai hal-hal berharga yang DIA anugerahkan kepada kita. Berapa ramai daripada kita, tatkala hujan turun, kita akan mengucap syukur dan menyedari turunnya hujan itu sebagai isyarat rahmat dan rezeki  kepada kita dan seisi alam ?. Yelah, awal bicara tadi pun saya sudah sedarkan yang kita ini mudah sahaja melupakan hal-hal berharga di depan mata, dan selalu sibuk memikirkan bagaimana nak dapat atau memiliki perkara lain atau benda lain yang bukan milik kita.

AKHIR KATA

Cukuplah, diberi peringatan kepada kita dalam surah Ar Rahman : Nikmat Tuhan yang manakah yang Engkau Dustakan?. Sungguh perihal Hujan dan Bulan, bisa sahaja mendebarkan hati hamba-hambaNya yang punya Iman..

Wallahualam..

Post a Comment

0 Comments