Hikmah Kehilangan Orang Yang Kita Sayang : Hargailah Mereka Yang Masih Ada

Dengan Bismillah dan Selamat Sejahtera,
Pagi ini tentunya menjadi pagi yang sangat sayu dan syahdu bagi kami warga sekolah, kerana ibu salah seorang murid kami telah pergi buat selamanya, perginya dihadapan sebahagian mata kami.Kami menyaksikannya sehingga kelu tanpa kata.Pergi dengan cara paling tragis, sehingga saya sendiri tidak mampu untuk menahan air mata. Bagaimana jika yang pergi itu adalah saya? Bagaimana pula akan anak-anak saya. Allahu Rabbi..

Hari ini, perhimpunan pagi sekolah saya diisi dengan sesi Tahlil Ringkas arwah ibu murid sekolah kami.Kemalangan ngeri yang mengambil nyawa ibu murid sekolah saya ini dirakam dalam akhbar Harian Metro ( Hari Jumaat /27 Sept 2013 ). Ia benar-benar berlaku di hadapan pintu pagar sekolah saya.


Hargai Sementara Mereka Masih Ada

Memandangkan kejadian ini masih baru sangat dan melibatkan warga sekolah, murid-murid saya juga tidak dapat memberikan sepenuh perhatian akan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di kelas. Berbisik-bisik mereka, untuk bercerita dan mengetahui cerita sebenar apa yang berlaku pada petang semalam di hadapan pintu pagar sekolah mereka. Lalu saya ambil kesempatan ini, dan berpesan kepada mereka. Saya berpesan sedikit panjang dan harap anak-anak murid saya ini, meskipun masih kecil (10 tahun ) tetapi sudah boleh faham akan apa yang saya sampaikan.

Begini nasihat saya kepada mereka..
Ajal maut ditangan Tuhan. Allah kata, ajal itu akan terjadi kepada setiap manusia.Ia berlaku tidak akan cepat atau lambat sesaat pun.Kemalangan itu hanya sebab berlakunya ajal. Sama seperti sakit atau bencana lain yang datang.Itu semua hanya sebab. Sebab yang paling utama ialah ajal mereka sudah sampai.
Mereka yang sudah pergi, sudah ditentukan nasibnya.Kita sebagai manusia yang masih hidup, kena tahu dan faham apakah kebaikan atau hikmah daripada apa yang berlaku.Itu yang penting, yang kita semua kena tahu.Apa yang Tuhan mahu kita belajar daripada peristiwa itu.

Ambil Iktibar dan Pengajaran Atas Kematian dan Kehilangan


Saya berpesan dua perkara kepada mereka. Cukuplah buat mereka faham dan ambil perhatian akan apa yang saya pesankan. Saya luahkan begini :

Dua perkara sahaja cikgu nak pesan. Hikmah berlakunya kejadian petang semalam iaitu Utamakan keselamatan diri dan Hargailah Ibu dan sesiapa sahaja ahli keluarga kita termasuk semua orang yang kamu sayangi. Jangan sampai satu masa, kamu akan merasa sunyi, rasa rindu untuk memanggil nama ibu kamu sendiri.Jangan sampai kamu rindu ibu kamu kerana waktu hayatnya kamu tidak mahu mendengar kata dan menghormati Ibu kamu.
Saya tahu ada air mata yang menitis di hujung mata saya. Begitu juga mereka yang mendengar pesan saya ini.Saya mahu anak-anak kecil di hadapan saya ini, cepat faham dan mengerti bahawa, siapa pun ibu kita, dia sentiasa layak untuk dikasihi dan dikasihani, dihormati dan dihargai..Ya, sementara mereka masih ada..

Al Fatihah buat Arwah Ibu Murid saya.Amin.

Post a Comment

0 Comments