Aku Ingin Dapat Jodoh Dan Bahagia

Dengan Bismillah dan Salam Sejahtera,
Baru saya faham sekarang ini, mengapa kita diajar supaya cuba memahami kehidupan diri orang lain dengan " meletakkan diri kita di tapak kasut orang itu".Wahh, bukan main cikgu seorang ni kalau "mengayat" kan?haha. Bukanlah begitu sekali cadangan saya kepada anda semua.Jangan salah tafsir falsafah yang saya kongsikan ini. 

Sebenarnya, pertama kali saya mendengar falsafah ini ialah daripada Guru Sastera saya semasa di tingkatan 6 dahulu.Masa mendengar bicara guru saya ini, saya sekadar menangkap bicaranya, tanpa mahu berfikir panjang tentangnya.Hmm..masa tu kononnya hanya nak serap hal-hal yang berkaitan dengan silibus sastera yang berkaitan dengan peperiksaan STPM je.

Aku Ingin Dapat Jodoh Dan Bahagia

Kenapa agaknya saya terbitkan entri yang tajuknya sebegitu rupa ya? Saya temui carian ini dalam "search keywords" di blog saya.Pertama kali saya terpandang carian itu, terfikir di minda saya, apa agaknya perasaan orang yang menulis begitu dalam kotak carian ? Adakah itu tajuk sebuah puisi hebat atau tajuk drama melayu atau tajuk sebuah novel atau luahan perasaan seseorang? Wallahualam.Carian ini menyentuh tangkai hati saya sehingga memaksa saya duduk muhasabah diri.Benar pesan Guru Sastera saya itu.


Jika sekadar mendengar dan memahami sesuatu secara luaran, kita tidak kan punya daya menanggapi atau merasai perasaan sebenar kesulitan dan kekecewaan seseorang itu terhadap sesuatu.Hanya dengan satu syarat ini, barulah kita bisa memahami sesuatu secara mendalam.Caranya ialah, selalulah merasakan kita berada di tempat mereka yang ditimpa musibah itu. Bolehkah kita ?

Pandanglah Masalah Orang Lain Dengan Mata Hati

Cerita besar saya ini hanya bermula dengan cerita kecil bagi kita yang sudah bertemu jodoh.Saat kita bahagia dan gembira dengan pasangan masing-masing,ada sahabat dan rakan kita di sana yang masih sendirian dan tertanya-tanya bilakah jodohnya pula akan menjelma.Tuhan mendidik kita dengan pelbagai cara. Maka, jika kita melihat dan menyedari kesukaran orang lain mendapat jodoh mereka, maka sebagai diri kita yang telah pun dikurniakan pasangan yang baik-belajarlah dan sentiasalah hargai pasangan kita.

Begitu halnya jika kita sudah diberikan kerjaya yang bagus, bersyukurlah dan berhenti daripada terlalu banyak membuat "complain" dan bersikap "anti-majikan" kerana di luar sana masih ramai yang menganggur dan membuat kerja yang tidak setanding dengan kelayakan mereka. Malah ada pula yang perlu bekerja sehingga dinihari hanya untuk mencari sesuap nasi.

Setiap Orang Ada Ujian Hidupnya Sendiri

Kepada pencari "Aku Ingin Dapat Jodoh dan Bahagia", Saya mungkin tidak mampu meletakkan diri saya dalam keadaan dan situasi anda, kerana saya diuji dengan sesuatu yang lain pula. Namun saya selalu yakin dan percaya, Tuhan menguji hambaNya sesuai dengan kesanggupan dan keupayaan seseorang itu menanggungnya. Akhir ujian hidup ini nanti, DIA hanya mahu melihat adakah dengan ujian itu kita semakin dekat atau jauh dariNya.Jadikanlah setiap ujian itu jambatan untuk kita lebih rapat dan hampir kepadaNya.
Tidak semua orang yang sudah bertemu jodohnya, akan kekal hidup bahagia.Malah pancaraoba yang dilalui oleh sebahagian mereka yang sudah mendapat jodoh adakala lebih mengecewakan. Tentu anda pernah mendengar tentang pasangan yang berpisah, pasangan yang berkahwin tetapi tidak direstui keluarga, pasangan berkahwin yang tidak mendapat zuriat dan banyak lagi dugaan bagi mereka yang sudah "mendapat jodoh".
Misalan yang saya kongsikan ini mungkin sedikit daripada mereka yang ramai sedang diulit bahagia setelah "mendapat jodoh"  masing-masing.Namun jangan lupa, dalam pasangan bahagia yang "sudah mendapat jodoh" ini juga ada ujiannya yang tersendiri.Mungkin diuji dengan anak-anak yang nakal, berpenyakit, masalah kewangan dan banyak lagi. Lalu apakah tafsir bahagia bagi anda  pencari "Aku Ingin Dapat Jodoh dan Bahagia"?
Sebenarnya, bahagia itu bukan pada ada jodoh atau tiada jodoh, bahagia yang sebenarnya ialah apabila kita dapat menjadikan apa sahaja yang hadir dalam hidup kita itu sesuatu yang terbaik.Tidak kira apa sekalipun ujian yang datang, kita berusaha menjadikan ia terbaik untuk kita lalui dan hadapi.InsyaAllah. Semoga Allah Permudahkan semua keinginan kita.Amin.


Post a Comment

0 Comments