Rahsia Mendapat Jodoh Yang Baik

Dengan Bismilah dan Selamat Sejahtera,
Wah, saya ni dah macam pakar kaunseling jodoh pun ada, bila publish Rahsia Mendapat Jodoh Yang Baik kali ini.hehe.Sebenarnya sambil menulis Rancangan Pengajaran Harian ( RPH ) dalam Buku Rekod Mengajar ( BRM ) untuk pengajaran dan pembelajaran keesokan hari, saya turut memasang televisyen dan menonton siaran ulangan Semanis Kurma kendalian pasangan ustaz dan ustazah yang serasi dan bahagia iaitu Ustazah Siti Nor Bahyah dan Ustaz Aqashah.Topiknya mengenai " Jangan Tunggu lama-lama".


Biasalah kan, kalau keluar ayat macam tu, maknanya mesti ada kaitan dengan jodoh dan membina perkahwinan.Saya tidaklah menumpukan sepenuh perhatian kepada panggilan telefon oleh peserta dan bicara tetamu jemputan, cuma ingin kongsi pada penghujung bual bicara itu, ada di sebut berkaitan Rahsia Mendapat Jodoh Yang Baik.

Rahsia Mendapat Jodoh Yang Baik  


Saya akui, doa istikharah dan melakukan solat istikharah antara perkara terbaik yang harus menjadi amalan kepada sesiapa yang ingin mendapat jodoh yang baik. Amalan Solat Istikharah maknanya ia bukanlah dilakukan hanya sebulan sebelum bertunang atau sehari sebelum bernikah, sebaliknya ia hendaklah di lakukan selagi kita belum bernikah atau belum bertemu dengan jodoh yang baik.

Amalan Solat dan Doa Istikharah

Solat ini dilakukan untuk mendapatkan petunjuk, terutama bila seseorang dalam keraguan memutuskan mana yang terbaik di antara dua perkara yang diragukan. Jika timbul keraguan dalam hati untuk memilih atau mengambil keputusan dalam sesuatu perkara, contohnya: apakah aku harus menolak atau menerima? Keraguan makin terasa, keputusan tidak dapat dipastikan setelah melihat masing-masing ada kelebihan dan keburukannya.

Oleh yang demikian, hendaklah menyerahkan pada Yang Maha Kuasa untuk memilihnya. Sebelum seseorang mengambil keputusan ia dianjurkan solat istikharah dua rakaat.

Dengan mengharapkan agar ditunjukkan Allah untuk mendapatkan pilihan yang terbaik. Jika keraguan masih mempengaruhi fikiran untuk menentukan pilihan, ulangilah solat istikharah dan membaca doanya, walaupun pengulangan sampai 7 kali berturut-turut. Selepas itu, bertawakkal kepada Allah, pilihlah salah satu daripadanya, ambillah yang mana arah ‘hati’ lebih cenderung setelah berdoa. Jangan menimbulkan lagi keraguan, yakinlah bahawa itu adalah pilihan terbaik dari yang Maha Kuasa. ( SUMBER : Dari SINI )


Jangan merasa kecewa andai ternyata dalam keputusan yang dipilih menimbulkan keinginan yang tidak disukai. Ingatlah bahawa ini adalah yang telah digariskan pada azali yang tidak dapat dielakkan, besar kemungkinan mengandungi hikmah, membawa kebaikan dimasa akan datang, hendaklah tetap mempunyai husnuz-zan kepada Allah.

Harus juga faham bahawa solat Istikharah ini bukanlah dilakukan hanya jika kita ada masalah membuat pilihan berkaitan jodoh, malah lebih luas dari itu seperti memilih pekerjaan, bidang kursus di universiti atau lokasi tempat  kita ingin tinggal dan banyak lagi.Ringkasnya, jika kita mempunyai "masalah" dalam membuat pilihan kerana sedikit pengetahuan mengenai hal tersebut atau terlalu sukar membuat pilihan maka digalakkan melakukan solat sunat Istikharah.

Anda boleh merujuk di mana-mana buku panduan solat sunat Istikharah atau pergi ke laman web yang selayaknya untuk mendapat info berkaitan solat Istikharah. Di sini, saya cuma kongsikan doa yang sebaiknya kita mohonkan, sebaik sahaja selesai Solat Istikharah ditunaikan.

Doa Istikharah
Ya Allah, aku memohon petunjuk memilih yang baik dalam pengetahuanMu, aku mohon ditakdirkan yang baik dengan kudratMu, aku mengharapkan kurniaMu yang besar. Engkau Maha Kuasa dan aku adalah hambaMu yang dhaif. Engkau Maha Tahu dan aku adalah hambaMu yang jahil. Engkau Maha Mengetahui semua yang ghaib dan yang tersembunyi.
Ya Allah, jika hal ini (***) dalam pengetahuanMu adalah baik bagiku, baik pada agamaku, baik pada kehidupanku sekarang dan masa datang, takdirkanlah dan mudahkanlah bagiku kemudian berilah aku berkah daripadanya Tetapi jika dalam ilmuMu hal ini (***) akan membawa bencana bagiku dan bagi agamaku, membawa akibat dalam kehidupanku baik yang sekarang ataupun pada masa akan datang, jauhkanlah ia daripadaku dan jauhkanlah aku daripadanya. Semoga Engkau takdirkan aku pada yang baik, sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas setiap sesuatu.”

Bagi sesiapa yang belum lagi bertemu jodoh, rahsia mendapat jodoh yang baik mengikut lontaran bicara ustaz dan ustazah yang saya maksudkan tadi ialah kita sendiri harus menjadi dan berusaha terlebih dahulu menjadi jodoh yang baik kepada orang lain.Itulah rahsia dan cara yang terbaik yang disarankan kerana lelaki yang baik untuk perempuan yang baik dan begitulah sebaliknya!

Post a Comment

0 Comments