Gagal UPSR Bukan Gagal Dalam Hidup

Dengan Bismillah dan Salam Sejahtera,
Yeay..hari yang di nanti tiba juga akhirnya!Hari terakhir sesi persekolahan pada hari ini dipenuhi dengan beberapa acara kemuncak di sekolah. Sesi pagi dimulai dengan Majlis Anugerah Cemerlang kemudian sesi tengahari berlangsung pula Majlis jamuan Tahunan Guru.Apa lagi yang paling best selain daripada aktiviti makan-makan, ye tak?hehhe.

Sehari sebelum Majlis Anugerah Cemerlang berlangsung, murid tahun enam baru sahaja mendapat keputusan peperiksaan UPSR mereka.Walaupun keputusan peperiksaan kali ini merosot dari segi bilangan calon yang mendapat 5A, namun peratus pencapaian subjek dan Gred Purata Sekolah meningkat dengan memberangsangkan.Saya tumpang seronok melihat murid-murid tahun 6 yang dulunya pernah belajar Bahasa Malaysia dengan saya pada tahun 5,datang berjumpa saya sambil menunjukkan slip peperiksaan mereka.

Keputusan UPSR


Rupanya mereka masih ingat kata-kata saya pada satu hari ketika saya 'hilang sabar" di dalam kelas, dan mencabar mereka agar datang kepada saya pada hari keputusan UPSR di umumkan dengan menunjukkan keputusan bagi subjek Bahasa Malaysia mereka. Saya bukanlah guru garang di sekolah, tetapi ada masa bila murid tidak menunjukkan kesungguhan dan komitmen terhadap pelajaran, cikgu yang tak berapa nak garang ni pun boleh keluar api kat kepala kan..haha. 

Gagal UPSR Bukan Gagal Dalam Hidup

Kepada murid-murid yang mendapat keputusan kurang memuaskan, banyak kata dorongan dan nasihat yang saya kongsikan. Gagal UPSR Bukan Gagal Dalam Hidup!.Ya,begitulah pesan saya kepada mereka yang menangis dan bersedih selepas melihat slip peperiksaan UPSR mereka.Bagi saya, dalam dunia "sebesar" ini, hal-hal kecil seperti gagal atau tidak mendapat apa yang kita ingini, bukanlah petanda berakhir sudah harapan dan masa depan.Hal gagal akan menjadi perkara kecil jika kita berfikiran positif dan percaya diri kita mampu mengubah keadaan sekarang kepada yang lebih baik pada masa akan datang.InsyaAllah.

Antara dorongan dan kata nasihat saya kepada mereka ialah :


Cikgu dulu masa sekolah rendah macam kamu, bukanlah budak pandai. Jangan fikir apabila UPSR kamu tidak memuaskan, hidup sudah berakhir. Itu fikiran orang yang negatif.Jika hendak berjaya, kena kuatkan semangat, teruskan berusaha dan jangan cepat putus asa.Bilangan " A " atau nilai A,B, C tu hanya sekadar nilai sementara untuk kamu meningkatkan lagi diri pada masa depan. Suatu hari nanti, yang akan menjadikan diri kamu seperti cikgu sekarang atau lebih baik ialah apakah sikap kamu terhadap kejayaan dan kegagalan dan bagaimana kamu sabar dan tekun menghadapi semua kesuakaran dan kesusahan ketika hendak mendaki puncak kejayaan itu. 
Orang pandai sekarang ini, tetapi jika dia tidak kuat semangat dan leka dengan kejayaan "kecil" yang diperolehinya, dia tidak akan ke mana-mana.Percayalah, suatu hari nanti, kamu akan berjaya "memintas" mereka. Yang penting fikir positif dan kuat berusaha. 
Seorang " Guru Kecil " seperti saya tentunya sukar untuk "mengubah dunia", tetapi saya sangat yakin, jika saya dapat mengubah "Dunia kecil minda" murid-murid saya, mereka akan berusaha menjadi insan-insan hebat yang akan mengubah dunia!Semuanya bermula dengan seorang "Guru Biasa"...  

Selamat Bercuti kepada semua rakan guru dan semoga dapat memanfaatkan cuti kali ini dengan pelbagai usaha memantapkan pengajaran dan pembelajaran kita pada sesi hadapan.

Post a Comment

0 Comments