Memberi Dengan Ehsan

Dengan Bismillah dan Salam Sejahtera,
Tatkala saya sedang bersemangat menaip entri ini, suasana di luar rumah saya sangatlah meriah dengan dentuman mercun dan bunga api. Mungkin sambutan Tahun Baru Cina menyebabkan bandar Kuala Lumpur yang saya duduki ini harus bermandi bunga api lewat tengah malam ini.haha.Esok bermula cuti umum bercampur cuti peristiwa sempena perayaan Tahun Baru Cina, maka saya hanya bekerja semula pada hari Selasa nanti.Yeay!

Ya, itu mukaddimah yang tidak ada kena mengena dengan tajuk post saya kali ini.Kalau murid buat karangan merapu, cikgu membebel,kali ini bila cikgu sendiri buat mukaddimah cerita tiada kaitan dengan tajuk, tak payah susah hati sangat. Ada ke sesiapa peduli kan.haha.

Memberi Dengan Ehsan


Dah lama saya simpan hasrat nak tulis tentang tajuk ni.Sebab, hampir setiap hari,Allah ketemukan saya dan Allah pinjamkan saya rakan dan sahabat yang selalu memberi dengan ehsan.Saya malu dengan mereka.Lalu, saya dedikasikan catatan ini kepada mereka semua, yang saya kenali atau tidak, yang setiap saat hidupnya adalah untuk memberi dan memberi...

Pertama kali saya belajar tentang memberi dengan ehsan ini sekitar tahun 2000.Masa tu baru tamat belajar di universiti.Haa, tengok! betul kata cikgu saya masa di sekolah menengah dulu, jangan ingat orang-orang yang masuk "u" ni tahu semua benda.Sayalah salah seorang dalam kalangan bebudak yang masuk "u", bukannya semakin pandai, tapi rasa semakin "bodoh" sebab banyak benda yang kita tidak tahu, apabila semakin banyak yang kita belajar.kan? Betul tak?

Masa tu,saya ikut dengar ceramah untuk bebudak yang nak ambik UPSR. Penceramahnya seorang guru berpengalaman.Sepanjang sesi ceramah, saya dapat rasa semangat dan iltizam yang dimiliki guru itu, mengalir ke dalam diri sesiapa sahaja yang mendengarnya.Termasuk tukang taip cerita ni.Sayalah tu..:). Hujung bicara "penceramah guru" itu, ada satu kata-katanya yang meresap ke dalam hati saya, sehinggalah ke hari ini.

Ucapnya lebih kurang begini : 
Jika ada orang lain mengharap pertolongan kita,balasilah permintaan itu dengan baik.Jika kita tidak mampu membantunya, doakanlah orang itu agar masalah yang dihadapi akan segera selesai. Tetapi jika kita mampu dan berdaya membantu, bantulah dan berilah dengan sesuatu atau perkara yang lebih baik dari apa yang diharapkan oleh orang itu...
Ucapan ini selalu terngiang-ngiang di minda saya.Ya, sudah 13 tahun berlalu.Ucapan yang baik, walau sepatah dan ringkas, tetapi jika dapat memberi manfaat kepada orang lain-maka tentu hari-hari kita hanya akan berfikir untuk cakap hal baik-baik sahaja kan? Saya tidaklah dapat samakan kehidupan saya dengan anda, tetapi bagi saya sendiri, secara peribadi, rasa malu dan pada masa sama bersyukur apabila bertemu dengan orang-orang yang tidak kisah dan sanggup bersusah-susah untuk orang lain.

Mereka Insan Terpilih

Mereka inilah yang pada hemat saya, adalah "insan-insan terpilih" yang Allah pinjamkan untuk melindungi, memelihara dan memudahkan segala urusan saya.Melihat mereka adalah melihat akan kekerdilan dan ketidakupayaan saya mengurus diri sendiri. Hidup saya dan kita sebenarnya sangat dan terlalu bergantung kepada belas kasihNya!.Pernah atau tidak, orang-orang baik yang ada bersama anda ketika ini, adalah ibarat "si pari-pari" yang apabila kita minta Allah permudahkan dan bantu urusan kita,ada sahaja mereka ini untuk kita.

Kisah Memberi Dengan Ehsan

Mereka ini bukan sahaja membantu dan meringankan pekerjaan kita, malah adakala sanggup pula bersusah payah untuk kita.Pernah satu hari, bilik khas saya di sekolah terkunci dari dalam, kedua-dua kunci pengganti juga berada di dalam bilik.Dalam kesibukan menghadiri kelas mengikut jadual, saya sempat memohon dalam hati, supaya Allah permudahkan urusan saya ini. Saya tidak tahu bagaimana caranya, dengan laptop tertinggal dalam bilik tersebut,beserta buku-buku murid, saya jadi risau kalau-kalau sampai tahap, pintu bilik itu harus di robohkan pula.Tambahan lagi, ada pelbagai harta kerajaan dalam bilik tersebut.

Saya tidak tahu cara bagaimana saya boleh masuk ke dalam bilik itu, dengan harapan saya, tiada pintu yang harus dipecahkan.Rupanya,DIA sudah sediakan rancangan terbaik buat saya. Datang seorang kakak cleaner, yang sedia tahu masalah saya.Dia bawa bersama tukul besi dan juga kikir besi yang digunakan untuk umpil pintu bilik saya.Akhirnya saya dapat masuk ke bilik saya, tanpa sedikitpun pintu bilik itu dipecahkan atau dirosakkan! Seorang akak cleaner,yang membantu saya seperti mana yang saya ingini, malah lebih baik, dia tidak merosakkan pintu bilik saya sedikitpun! 

Memberi Sesuatu Yang Lebih Baik Dari Apa Yang Diharapkan

Ya, inilah yang ingin saya simpulkan akan post saya kali ini.Tidaklah susah memberi dan melakukan sesuatu kepada orang lain, dengan sesuatu yang lebih baik dari apa yang mereka harapkan.Saya selalu mencuba untuk seperti mereka, dan ada masa saya tidak mampu sehebat mereka.Perbuatan dan amalan ini, bukan sahaja mengembirakan mereka iaitu teman-teman, ahli keluarga dan sahabat handai kita, tetapi diri kita sendiri.Kita juga akan berasa gembira kerana mengembirakan...

Post a Comment

0 Comments