Hari Ibu Tanpa Ibu

Dengan Bismillah dan Salam Sejahtera,
Beberapa hari lepas, ketika saya baru sahaja selesai mengajar dalam satu kelas, seorang murid perempuan yang bertubuh kecil menghampiri saya.Wajahnya memang bersahaja dan ada masa mulutnya riuh bertanya itu ini kepada saya.Tetapi kali ini, dia hanya berdiri di sebelah saya, sambil memerhatikan beberapa rakan lain yang sedang bertanya soalan kepada saya.

Sebaik rakan lain kembali ke meja masing-masing, saya menyapa empunya tubuh kecil yang berdiri di sebelah saya. Dia bersuara perlahan dan merapatkan tubuhnya kepada saya sambil bersuara perlahan :

Cikgu, saya rindukan ibu sayalah..

Awak rindu ibu awak? kalau rindu, sedekahkanlah Fatihah..

Dah.saya selalu bacakan Al Fatihah untuk ibu saya

ok, waktu bila awak rasa rindu kat ibu awak ?

Setiap malam, sebelum tidur..kadang-kadang saya ambil baju ibu saya dan cium baju tu kalau saya nak tidur malam..

saya diam lama.Tahan air mata supaya tidak gugur dihadapannya dan murid lain.Tiba-tiba saya rasa murid bertubuh kecil itu memeluk saya dengan erat sambil berkata perlahan :

Boleh saya peluk cikgu? Cikgu ni macam ibu sayalah..

Saya mengangguk tanpa mampu luahkan sebarang kata. Beberapa lama kemudian, saya bertanya kepadanya.Ketika itu rakan-rakannya yang lain sudah keluar ke kantin kerana waktu rehat.

Awak masih sedih ke, masih ingat ibu awak..?

Saya terima Takdir Cikgu..

Awak memang budak yang hebat..Saya meluah kata sambil menggosok-gosok bahunya perlahan.

Hari Ibu Tanpa Ibu
Sempena Hari Ibu kali ini, saya terkenang dirinya.Seorang anak kecil yang DIA beri kekuatan, yang ada kala kita orang dewasa tidak memiliki dan mendapatnya.Semoga Allah melindungi dan merahmati anak kecil ini sepanjang hayatnya dan mendapat kasih ibu yang dirinduinya sekian lama.

Al Fatihah buat Ibu anak kecil ini yang pernah saya coretkan kisahnya dalam :Hikmah Kehilangan Orang Yang Kita Sayang : Hargailah Mereka Yang Masih Ada.

Post a Comment

0 Comments