Allah Hantar Mereka Untuk Saya Bersyukur

Dengan Bismillah,
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
Sudah hari ketiga, sesi persekolahan tahun 2016 berlangsung.Seperti tahun-tahun lalu, saya masih tetap mengajar subjek Bahasa bagi kelas tahun 1.Saya sebenarnya rasa selamat dan selesa dengan peluang ini.Di rumah pun dengan kerenah anak kecil, di sekolah pun begitu juga.Kadangkala tanpa sedar, saya pandang mereka tetaplah sebagai anak kecil saya, yang apabila mereka dekat dan menghampiri saya, semuanya minta untuk dimanja.haih.

Sabar mendengar arahan dan mengikut peraturan

Lalu, apabila saya mula meninggikan suara, tetaplah niat saya untuk membetulkan atau mengajar mereka.Bezanya tahun ini, apabila pihak sekolah memutuskan untuk buat "streaming kelas" saya dipilih untuk mengajar kelas yang hujung.Saya tetaplah rasa selamat itu:)

Tatkala pandang raut wajah mereka yang masih belum mengenal huruf hatta A, B, C-saya merenung ke dalam diri sendiri.Terlintas sepotong ayat dari Surah Ar Rahman, Tuhanku bertanya : Nikmat Tuhan manakah yang Engkau Dustakan..?

Allah Hantar Mereka Untuk Saya Bersyukur
Saya tidaklah untuk membesar diri, tapi melihat mereka, Allah mahu saya mula banyakkan bersyukur dan bersyukur.Setakat ini, tiga orang puteri saya sudah lancar membaca ketika usia 5 hingga 6 tahun.Pun bukan saya yang mengajar baca kepada mereka, melainkan guru di sekolah Taski merekalah yang banyak mendapat sahamnya kelak.

Harapan ibu dan bapa yang mohon supaya kejayaan anak-anak menjadi kenyataan

Giliran saya pula, bimbing anak-anak kecil ini.Rezeki anak-anak saya diberi kemudahan dalam pembelajaran mereka, lalu saya berasa kerdilnya menjadi seorang guru.Allah hantar mereka supaya saya bersyukur apabila melihat anak-anak saya.

Mereka baik.Sangat baik.Lembut hati saya jadinya tambah-tambah lagi apabila mereka sangat patuh, tak banyak bicara dan menurut sahaja.

Melihat Diri Sendiri Yang Dahulu
Melihat mereka bagai melihat saya dahulu dengan pakaian yang sama.Saya mula daripada seorang anak kecil yang hanya tahu membaca pada usia 8 tahun.Darjah 2.Maknanya mereka-mereka ini pastinya akan lebih baik dari saya-aamiin.

Hari pertama sekolah dengan kehadiran Clown nyata menambah seri sesi persekolahan tahun ini:)

Saya mohon, Tuhan permudahkan pekerjaan saya ini-setahun bersama mereka, saya hanya impikan yang indah-indah sahaja.Merekalah sumber kekuatan saya.Melihat mereka, bagai melihat diri saya yang dulu.

Melihat mereka, buat saya tambah bersyukur dengan putera puteri saya.Dan mahu mereka menjadi lebih baik.Saya dan Encik Suami serius mendidik putera puteri kami dengan erti kematangan dan tanggungjawab.Meski usia tiga atau lima tahun, semuanya kami mahu mereka menjadi lebih bertanggungjawab.

Dewasakan Anak
Seorang khalifah harus lahir dengan kepayahan, tanggungjawab, tidak mementingkan diri dan tahu berkasih sayang.Itu panduan saya bersama Encik Suami dalam membesarkan putera puteri kami.

Melihat mereka, saya mulai khuatir akan tanggungjawab-tanggungjawab peranan ibu bapa yang belum tertunai.Melihat mereka, saya mengerti betapa tingginya harapan ibu bapa kepada anak-anak mereka.

Ibu dan bapa mana yang tidak punya harapan terhadap anak-anaknya!

Semoga saya tabah dengan urusan ini-aamiin.




Post a Comment

0 Comments