Kematian Itu Nasihat Kepada Kita Yang Hidup

As Salam,
Kematian Itu Nasihat Kepada Kita Yang Hidup-Lama benar saya tangguhkan tulisan ini.Pertama kali dalam hidup saya berdepan dengan kematian, atau kehilangan insan tersayang ialah abah saya sendiri.Masih dalam ingatan, sebaik selepas subuh, kami mendapat perkhabaran dari Tabung haji di Mekah, bahawa abah sudah tiada, saya tidak lagi menangis.Saya masih bertahan.

Surah Yaasin yang selalu menjadi hadiah kepada si mati.Bila tiba saat kita nanti, siapakah yang kita harap dapat menghadiahkan kita bacaan ini? Allahuakbar.

Hanya tatkala abang Long saya mengajak kami adik beradik berkumpul dan menghadiahkan bacaan Yassin kepada arwah abah yang jauh di Mekah, ketika itulah saya menangis sehingga sukar untuk menyebut kalimah demi kalimah dalam surah Yassin tersebut.Asyik berhenti dan membaca Yassin dengan suara tertahan-tahan.Peristiwa ini telah berlaku hampir 9 tahun yang lalu.

Akhir-akhir ini, saya menghadapi beberapa khabar kehilangan dan meskipun tidak begitu mengenali dengan rapat, tapi pemergian mereka juga dekat dengan hati saya.Antaranya pemergian Puan Guru Besar sekolah saya, yang baru sahaja berkhidmat di sekolah kami sekitar 3 bulan.Saya menziarahi arwah Guru Besar di wad ICU, ketika itu sempat berbual-bual dengannya, namun tanpa sengaja saya menumpahkan air mata dihadapannya, dan spontan arwah mengesat air mata saya dengan hujung kain tudung saya.Itulah kenangan akhir saya dengannya.Allah dah atur semuanya.Pasti DIA lebih tahu apakah yang lebih baik buat kita yang ditinggalkan.

Terbaharu, saya mendapat perkhabaran pemergian ayahanda adik ipar saya sendiri diikuti pemergian suami sahabat baik saya sendiri sejak zaman sekolah menengah lagi.Semuanya banyak membuat saya merenung nasib diri sendiri.Bagaimana pula nanti kesudahan hidup saya?

Saat saya mendapat perkhabaran pemergian suami kepada sahabat baik saya, saya hantar personal wassap kepadanya.Hanya dua hari selepas itu, barulah sahabat baik saya respon wassap saya.Saya dengar suaranya yang lirih dan sedih dan minta saya doakan kekuatan untuknya menghadapi dugaan ini.Status di atas, antara yang saya ucapkan kepadanya.Semoga dia terus tabah.aamin.

Allahuakbar.
Saya percaya dan penuh yakin.Kisah-kisah kematian ini adalah nasihat yang paling berguna buat kita semua yang masih hidup, yang pasti akan mati juga.Terkenang-kenang saya akan beberapa ayat Quran yang saya cuba tadabbur maksudnya, antaranya mengingatkan kita supaya buatlah amalan baik, kerana dunia ini hanya sementara, akhirat jua yang kekal.

Kita semua tahu, saat kematian menjemput, sebanyak mana pun harta, anak dan saudara mara, sahabat handai, tapi akhir hidup kita nanti, kita akan sendiri.Sendiri di alam barzakh, yang saya pasti hanya bekalan amal soleh sahaja yang akan jadi teman kita di sana.Masya Allah.Memang gerun!

Tambah-tambah kalau amal kita tidak seberapa.Yang dibuat pun tidaklah sesempurna dan sebaik mana.Terbayang juga, kadang-kadang sebaik usai solat, takut-takut kita menjadi kalangan manusia yang meminta untuk dihidupkan dan dikembalikan ke dunia semula hanya untuk buat amal soleh.Masa tu sesalan sudah tidak berguna lagi.Allahuakbar.

Kematian itu benar.Ia adalah nasihat kepada kita yang masih hidup.Sementara masih Allah pinjamkan masa dan nyawa, marilah kita pertingkatkan amal soleh.
Ya Allah,
Lindungi kami dari azab api neraka dan siksaan kubur.Ampuni segala dosa-dosa kami ya Allah yang maha pengampun.Terimalah amal kami yang sedikit dan tidak sempurna ini atas kelemahan dan kekurangan iman kami.Janganlah Engkau hukum kami dengan kesalahan-kesalahan yang kami jahil tentangnya.
 Aamin Ya Rabbal alamin.

Post a Comment

1 Comments

  1. salam takziah atas kehilagnan ayahanda tercinta, semoga arwah ditempatkan ke dalam golongan orang yang beriman dan soleh. :(.. terima kasih atas peringatan ini, mati itu pasti :(

    ReplyDelete

Thanks Read This Entry:) Drop your comment, So I know That You Are Visit My Blog.Thanks In Advance My Sweet Readers!