Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
Kejohanan Olahraga MSSDPD Tahun 2025 : Tahun Terakhir Anakku Di SKKBSR, Port Dickson- Kejohanan Olahraga daerah Port Dickson baharu sahaja melabuhkan tirainya pada Khamis lepas. Saya tidaklah terlibat secara langsung dengan kejohanan ni, sebab tahun ini dikelolakan oleh sekolah lain.Cumanya follow rapat kejohanan ni sebab anak bongsu saya salah seorang atlit yang mewakili sekolah dalam 5 acara.Kita yang dengar pada mulanya ni pun naik seram.haha.Tapi atas kepercayaan Coach Olahraga sekolah, saya berlapang dada walaupun agak gusar kerana anak lelaki baru pulih daripada kecederaan tisu otot pada tahun lepas.huhu.
Pasukan Olahraga SKKBSR dinobatkan sebagai Johan keseluruhan Sekolah Rendah dalam MSSDPD bagi tahun ke-9 berturut-turut dengan pungutan 14 pingat emas.Tahniah semuanya!
Saya ambil kesempatan untuk menulis tentang anak bongsu ni sebab, dia antara atlet yang menyumbang dalam sejarah Olahraga sekolah apabila tahun ini sekolah saya berjaya mengekalkan kejuaraan bagi tahun ke-9 berturut-turut sebagai Johan Keseluruhan MSSDPD dengan pungutan pingat 14 emas. Semasa GPK Ko Kurikulum umumkan kemenangan ini dalam grup rasmi sekolah, saya tuliskan dalam respon wassap tu bahawa pencapaian Team Olahraga ni sebagai Terbaik Sepanjang Zaman.Yeahh.
Bukan mudah dan ringan ya nak dapat pencapaian hebat dan terbilang seperti ini melainkan pasti ada pengorbanan besar ramai orang disebalik kejayaan ini. Memandangkan anak lelaki saya mula menyertai pasukan Olahraga sekolah sejak darjah 4, dan kini sudah di tahun 6, saya dan suami, juga ibu bapa lain menjadi saksi betapa pengurusan pasukan olahraga sekolah memang sangat terbaik, effisien dan penuh disiplin serta komited yang tidak berbelah bahagi.
Seorang Coach yang seluruh jiwa dan kasihnya hanya pada anak-anak olahraga bimbingannya.
Semoga Allah kurniakan kesihatan yang baik kepada beliau untuk terus mencurah bakti.
Saya selalu percaya, tidak ada kejayaan terbilang yang dicapai, secara individu.Melainkan ada orang kuat disebalik tabir akan kejayaan tersebut.Saya melihat kekuatan pasukan olahraga sekolah ini adalah pengurusan yang cemerlang di peringkat kejurulatihan, latihan, penghargaan dan kebajikan kepada atlet olahraga itu sendiri.
Anakku Mendapat Latihan Dan Bimbingan Terbaik
Sebagai seorang guru yang setiap harinya dalam satu minggu lebih banyak di sekolah berbanding di rumah, kadang-kadang tak punya masa pun nak didik atau pantau pelajaran anak sendiri di rumah. Ini hakikat yang ramai guru hadapi perkara ini. Saya sendiri pernah terlibat menguruskan pertandingan anak murid, kita tahu selagi pertandingan tak selesai, selama itulah tak tenteram urusan seharian.
Dan saya bersyukur apabila anak bongsu saya ni, yang kami panggil Adik atau nama sebenarnya Nur Muhammad Aryan Iman terpilih menyertai pasukan Olahraga sekolah. Kami yang jadi mak pak ni pun baru tahu rupanya anak bongsu ni ada bakat berlari macam mak dia dulu.haha. Itupun selepas sukan sekolah semasa dia di darjah 3.
Aryan bersama team relay dalam pasukan Speedy Rusa. Kejayaan sebenar tidak diraih sendirian, ia harus datang dengan semangat berpasukan, saling menyokong dan disiplin yang kuat.
Saya menyaksikan kemahiran olahraga anak berkembang dengan sangat baik setiap masa.Jadual latihan yang tersusun, kepelbagaian sesi latihan dan sebagai ibu bapa, kami tahu anak kami mendapat bimbingan yang betul.Terima kasih tidak terhingga kepada Coach Olahraga sekolah kami yang ramai budak-budak memanggilnya dengan panggilan Cikgu Abot.Seorang Guru PJK yang sangat komited walaupun suara nyaringnya kedengaran lebih garang daripada dirinya yang sebenar.
Sebagai Cikgu dan mak kepada anak yang mendapat bimbingan terbaik daripada gurunya, saya sangat terharu dan bersyukur sangat.Saya memang tak pandai nak ajar anak berlari dan memang bukan bidang saya, tapi di sana ada guru lain yang sedia membimbing anak kita dengan baik dan sanggup buat macam-macam untuk kejayaan anak kita.
Wajah ceria dan kegembiraan selepas menjadi Johan Keseluruhan MSSDPD di Stadium Paroi,
Negeri Sembilan.
Pencapaian Manis Anakku Aryan dalam Sukan Olahraga
Pencapaian Aryan dalam MSSDPD bermula sejak dia darjah 4 lagi dan menyertai acara kategori L11.
Tahun kedua Aryan menyertai MSSDPD, dia telah dinobatkan sebagai Atlet terbaik dengan pungutan 4 emas bagi acara 100m, 200m, 4x100m dan 4x200m.Kejayaan Aryan dan pasukannya pasti tidak diperolehi dalam waktu yang singkat dan mudah.Semuanya perlu latihan yang berterusan, disiplin yang tinggi serta sokongan ibu bapa dan keluarga.
Aryan Iman semasa menerima piala dan sijil Atlet Terbaik kategori L11 dalam kejohanan MSSDPD tahun 2024, semasa usianya 11 tahun.
Dalam MSSDPD tahun ini, iaitu tahun terakhir Aryan di SKKBSR, rezekinya hanya mendapat dua pingat emas dalam acara 100m dan 4x100m. perak acara 200m dan gangsa dalam acara lari berpagar. Namun pasukan Olahraga sekolah telah berjaya mengekalkan kejuaraan selama 9 tahun berturut.
Tahun ini, tahun terakhir Aryan berpeluang mewakili sekolah ke MSSNNS.Meskipun dia terpilih dalam empat acara, namun tiada rezeki untuknya pulang dengan sebarang pingat.Sebagai Ibu, ada juga rasa ralat dan terkilan, tapi saya redhakan semuanya kerana Allah sebaik-baik pemberi rezeki.Tahun in tetap lebih baik baginya kerana kalau ikut tahun lepas, Aryan pulang dari MSSNNS siap pakej cedera lagi.Jadi tetaplah saya bersyukur dalam apa pun keadaan anak saya.
Tambah lagi bila saya slow talk, nampaknya Aryan benar-benar berjiwa besar.Meskipun tidak memenangi sebarang pingat, dia tetap boleh mengawal emosi dan perasaannya dan tidak menunjukkan apa-apa kemurungan meskipun ada rakannya yang mengadu kepada saya, dia menangis selepas larian acara favouritenya iaitu 100m, kerana persaingan yang sangat sengit semasa acara berlangsung. Sukan ini paling tidak, ia mendidik anak-anak kita sabar waktu menang dan juga sabar waktu mengalami kekalahan.
Kalau perhatikan dia dari jauh, kadang naluri ibu saya rasa sebak dalam dada.Pada usia yang semuda ini, dia sebenarnya telah pikul beban besar, mewakili sekolah dalam acara olahraga.Dia seorang anak lelaki yang tidak bercerita melainkan saya yang bertanya.Cara dia meluahkan perasaannya tanpa kata-kata ialah apabila dia memeluk saya lepas solat dengan pelukan yang lama dan erat.Rasanya seperti dia mengumpul kekuatan semasa memeluk saya.Anakku yang paling istimewa dengan caranya yang tersendiri :)-
Sebab dialah kami punya sebab untuk datang ke stadium semata-mata menonton perlawanan olahraga daerah. Kami gigih mencari sport shoes, cari spike dan paling terkini bawa anak ke rawatan di rehab Port Dickson dan Seremban.Semuanya menjadi pengalaman baru bagi kami.
Kenangan akhir Aryan dengan rakan sepasukan dan Guru Pengiring yang sama-sama mewakili daerah Port Dickson ke MSSNS. Saya dan ayahnya ada berpesan kepadanya semasa menghantarnya pagi-pagi ke stadium, kami pesan, "..mama ayah tetap sokong adik, tak kira adik menang atau kalah dalam pertandingan.Buat yang terbaik je.."
Apapun, sebagai ibu, saya mendoakan andai memang rezeki anak saya dalam bidang ini, saya mohon Allah mudahkan laluanya ke peringkat yang lebih tinggi.
Allah Sebaik-Baik Pengatur Rezeki dan Kehidupan
Sebenarnya, sejak kecil lagi anak bongsu saya Si Aryan ni banyak perbezaan dengan kakak dan abangnya. Pendek kata dia ni budak yang kuat tantrum, ada cara sendiri dan sedikit sebanyak kesabaran kami sebagai ibu ayah sangat tercabar semasa mengasuhnya.Namun sungguhlah.Allah itu sebaik-baik pengatur rezeki dan kehidupan kita.
Aryan ni memang anak yang aktif sehinggakan waktu solat pun saya tak pernah tengok dia boleh berdiri dengan tenang. Tenaga yang dia miliki memang super extra. Apabila dia mula terlibat dengan sesi latihan sukan di sekolah, sehingga terpilih menyertai pasukan olahraga sekolah, terjawablah doa saya.Ada hikmah mengapa Allah jadikan dia anakku yang sangat aktif dengan tenaga yang luar biasa.
Sesi latihan dan juga penglibatan dia dalam Olahraga banyak membantu Aryan melepaskan tenaga yang ada dalam dirinya. Tantrumnya juga semakin kurang. Rezeki Aryan dibimbing oleh guru yang sabar dan sedaya upaya memahami dirinya.Sedangkan saya sendiri berterus terang dengan coach yang membimbingnya, sampai sekarang saya dan ayahnya masih dalam proses memahami dirinya berbanding anak-anak yang lain.
Allah Maha Baik.
Meski diduga dengan ragam dan tantrum, Aryan ni sesungguhnya anak kami yang sangat istimewa.Rezekinya sentiasa mendapat yang premium.Tak tahulah.Tapi saya sedar sangat hal ini. Dalam pada dia anak yang ada "cara sendiri ", Aryan juga seorang yang sangat pandai mengemas, manja, pandai ambil hati dan prihatin dengan perasaan saya sebagai ibunya.
Pada tahun terakhir dia sebagai Atlet di SKKBSR, saya mendoakan semoga bintangnya lebih bersinar di pada masa akan datang, dapat melanjutkan persekolahan alam menengahnya di mana-mana sekolah Sukan terbaik negara ( bab sekolah sukan ni sebenarnya saya masih 50-50, tapi tetap yakin jika Allah izinkan, maksudnya ada kebaikan untuk anakku Aryan.aamin )
Saya mohon doa semua, semoga Allah lorongkan kebaikan yang banyak kepada anak-anak saya, dalam apa pun bidang yang mereka sertai.Saya hanyalah guru biasa, juga seorang ibu yang punya harapan tinggi dan impian besar untuk anak-anak saya.Semoga Allah sampaikan doa-doa saya untuk anak-anak yang saya cintai ini, dalam waktu terdekat atau bila sampai waktu terbaiknya nanti.aamin.
0 Comments
Thanks Read This Entry:) Drop your comment, So I know That You Are Visit My Blog.Thanks In Advance My Sweet Readers!