Dengan Bismillah
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
Sangat lama saya tak kongsi cebisan kisah kehidupan yang saya lalui sebagai pengajaran dan pengalaman kita bersama dalam blog kecik ni.Ada kala, tatkala saya mendapat pengajaran daripada sesuatu hal, masa pula tidak mengizinkan saya mengetuk kekunci Ultrabook ni, jadi semuanya tinggal kenangan saya sendiri sahaja.
Pakcik Sebagai Driver Peribadi
Tapi kali ini, saya berasa sangat terharu dengan ungkapan pakcik teksi yang seperti sudah menjadi Driver peribadi saya time ke tempat kerja.Sejak lima tahun lalu, dialah yang setia menghantar atau mengambil saya ke tempat kerja.Saya sangat bersyukur, kerana Allah pinjamkan dan hadirkan dia dalam perjalanan hidup saya.Pakcik yang sangat baik, pemurah dan sangat menjaga amanah dalam pekerjaannya.Dia bagaikan buku bergerak yang didalamnya terkandung pelbagai adab dan akhlak seorang pekerja.
Selalunya dia jugalah yang mengajar saya lebih banyak bersedekah tatkala dia mengurangi bayaran teksi yang saya naiki.Alasannya setakat dua atau lima puluh sen tak payah kiralah cikgu..Setiap kali itulah saya hanya tergelak kecil.Pun begitu, saya tidak terniat sekalipun untuk mengambil kesempatan apabila saya hanya membayar mengikut nilai ringgit yang tertera dalam meter apabila sampai di pagar depan sekolah saya.Semuanya kerana saya sudah faham dan belajar menghormati cara dan kehendaknya.
GST Dan Tambang Teksi
Begitulah masa berlalu.Tanpa sedar, hampir lima tahun saya menjadi penumpang tetap kepada teksinya.Sehinggalah isu GST yang semakin hampir.Sehinggalah baru-baru ini dikhabarkan tambang teksi akan naik.Bukan sedikit bagi saya, tapi tetap juga saya akur untuk membayarnya kerana itu sudah menjadi hak mereka.
Pada suatu hari, saya sekadar berbual kosong dengan Pakcik bagi memecah kesunyian untuk sampai ke sekolah saya yang biasanya mengambil masa sekitar 30 minit perjalanan. Saya sekadar bertanya kepada Pakcik tentang tambang teksi yang bakal dinaikkan.Jawapan Pakcik sungguh membuat saya sedikit terkesima.Pakcik menjawab soalan saya begini.
Saya dah niatkan dalam hati Cikgu, Kalau tambang naik banyak manapun, saya tetap ambik tambang biasa, tambang yang sekarang dari cikgu.Saya tak ambik ikut tambang baru.Cikgu jangan risau.
Eh, Pakcik jangan macam tu.Saya tak kisah kalau kena bayar berapa pun.Memang dah saya kena bayar sebab saya naik teksi Pakcik.Bukan satu dua hari, tapi hari-hari ni pakcik..
Takpe cikgu, saya memang dah niat.Cikgu jangan risau.Saya buat macam ni sebab Saya menghargai cikgu yang dah macam customer tetap saya..itulah sebabnya cikgu..Sebab Saya Menghargai Cikgu
Ungkapan "saya menghargai cikgu" masih terngiang-ngiang di cuping telinga saya hingga sekarang.Ia ibarat sebutir batu dari langit yang jatuh ke lopak air dihadapan saya.Tempias airnya membuat saya memberi reaksi.Eh? Bila kali terakhir saya ucapkan saya hargai insan--insan di sekeliling saya? bila ya? Alangkah...
Entah buat kali yang ke berapa, pakcik mengajar saya tentang tidak berkira dengan rezeki dari Nya, supaya nanti rezeki yang datang kepada kita datang tanpa mengira masa dan ketika.Subhanallah.Saya tundukkan kepala.Saya malu.Malu kerana tidak pernah sungguh-sungguh mengambil iktibar dengan apa yang Allah ajari melalui pakcik itu...
Alangkah lemahnya dan ceteknya pengetahuan saya, lemah dan lalai dalam memahami hikmah dariNya...
0 Comments
Thanks Read This Entry:) Drop your comment, So I know That You Are Visit My Blog.Thanks In Advance My Sweet Readers!