Salam Maal Hijrah 1440H :)

As Salam,
Salam Maal Hijrah 1440H- Sudah setahun rupanya selepas saya menaip post ini- Salam Maal Hijrah 1439 Hijrah-Jika post itu saya taip ketika saya berjauhan dengan anak-anak dan suami, kali ini menjelang tahun baru hijrah, Allah rezekikan kami sekeluarga untuk kembali bersama dalam satu bumbung.Alhamdulillah.Sesungguhnya saya akur, kasih sayang Allah kepada hambaNya memang sangat luas dan melimpah.Kita sahaja yang selalu rasa Allah itu jauh, sebab kita sendiri yang menjauh dariNya.Bukan begitu ?

Marilah kita kembali mendekati, mencari dan mengharap, Tuhan Yang Maha Mengasihani

Seorang Hamba Yang Tidak berhenti Meminta
Kadang-kadang timbul dalam diri saya,perasaan tidak patutnya saya minta itu ini, tatkala saya mahu meminta-minta dan berdoa kepada Allah, kerana saya tidak berdaya menghitung begitu banyak nikmat, anugerah, kebaikan dan kegembiraan yang Allah kurniakan dalam hidup saya ini.Tatkala, saya mahukan sesuatu, terlintas pula dalam fikiran saya, saya telah mendapat semua yang mungkin orang lain masih mengharapkannya, kenapa saya masih meminta lagi? Apa lagi yang kurang dalam hidup saya.Allahurabbi.

Sempena tahun baru Hijrah ini, saya ingin istiqamah tentang sesuatu, yang saya sudah mulai amalkannya sejak usia saya memasuki empat dekad ini. Saya mahu mendoakan untuk orang lain, sama ada ahli keluarga, suami dan anak-anak, atau sahabat handai dalam doa-doa saya.Allah sudah memberi dan mencukupkan keperluan saya, lalu saya ingin himpunkan doa-doa saya untuk sesiapa sahaja yang saya terfikir supaya Allah dapat memakbulkan permintaan saya untuk mereka.

Saya hanya HambaNya yang serba berdosa, lemah dan sangat berharap akan keampunanNya, saya mohon semoga sesiapa jua yang saya doakan itu, mendapat kebaikan yang banyak.aamiin.

Muhasabah diri sendiri

Kehidupan Yang Lebih Baik
Tahun baru Hijrah ibarat sebuah hentian transit.Kita berhenti sekejap.Melepas lelah dan merenung kembali perjalanan setahun yang sudah kita tinggalkan.Apakah bekalan kebaikan yang kita bawa semakin banyak atau kita perlu tambah lagi kerana kita tidak tahu amal kita yang manakah yang Allah redha dan angkat ke atas langit. Takutnya, jikalau apa yang sudah kita kerjakan, tidak dihitung sebagai amal ibadah, lalu apa lagi yang kita ada kalau esok pun kita tidak mendapat jaminan untuk hidup lagi.

Sebagai saya yang serba tidak sempurna, saya mohon Allah dapat teguhkan keimanan, dilindungi saya dari mengulangi dosa dan kesilapan lalu, dikurniakan kesihatan supaya dapat beribadah dengan sempurna, dikurniakan anak-anak yang soleh dan solehah, semoga Allah pelihara jodoh saya dengan suami dan bimbing kami agar dapat membimbing keluarga kami ke jalan yang diredhaiNya.

Hijrah itu Pengorbanan

Pengalaman Hijrah
Bagi sesiapa yang sudah membaca post saya sebelum ini, pasti tahu akan usaha saya dan Encik Suami yang merancang berpindah dari bandar Kuala Lumpur ke Port Dickson, Negeri Sembilan. Saya mengikut suami berpindah ke KL, selepas menjadi isterinya.Hampir 14 tahun kami menetap di sana, anak-anak juga tidak mahu berpindah pada asalnya, namun kerana kami inginkan kehidupan yang lebih teratur, lebih baik dan pastinya merancang hidup berkeluarga kami, maka akhirnya Allah permudahkan semuanya.Syukur tidak terhingga kepada Ilahi kerana niat kami berhijrah itu, Allah kurniakan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kami harapkan.

Jika anda mempunyai hasrat untuk berhijrah sama ada berkaitan diri, tempat kerjaya, atau tempat tinggal, usahakanlah dan niatkan untuk mendapat atau melakukan sesuatu yang lebih baik.InshaAllah, DIA akan permudahkan semuanya.

Ada perkara-perkara dalam hidup kita, yang bila kita berhijrah atau berubah atau bertukar kepada yang lain, ia memberikan kita pengalaman yang tidak terjangkau dek fikiran kita betapa Allah selalu ada untuk kita, asalkan niat kita berhijrah itu untuk kebaikan.

Hijrah itu Perjuangan

Akhir kata, Salam Maal Hijrah kepada semua pembaca blog ini. Saya tidak mempunyai apa-apa kebaikan yang saya dapat kongsi dengan anda semua.Hanya Blog ini menjadi salah satu bekalan saya, andai diterimaNya saat saya bertemu denganNya nanti.Saya juga mendoakan, supaya semua pembaca blog ini sentiasa mendapat petunjuk dan hidayahNya, dikurniakan kesihatan tubuh badan dan mendapat rahmat dan redhanya sepanjang masa.

Jangan jemu singgah ke blog kecil saya ini ya! wassalam.

Post a Comment

2 Comments

Thanks Read This Entry:) Drop your comment, So I know That You Are Visit My Blog.Thanks In Advance My Sweet Readers!