Kongsi Pengalaman Anak Hadir Ujian Kelayakan Tingkatan 1 Ke SMKA Dato' Haji Abu Hassan Haji Sail (SEMADAH)

As Salam,
Kongsi Pengalaman Anak Hadiri Temuduga Ke Ujian Kelayakan Tingkatan 1 Ke SMKA Dato' Haji Abu Hassan Haji Sail (SEMADAH) -Alhamdulillah.Dua hari lepas saya dan Encik Suami baru sahaja selesai urusan menghantar puteri kedua kami, Eqin ke Ujian Kelayakan Tingkatan 1 ke SMKA Dato' Haji Abu Hassan Haji Sail (SEMADAH).Dulunya sekolah ini dikenali sebagai SMKA Pedas, Negeri Sembilan.

Nasib baik ada singkatan nama untuk sekolah ni, berbelit jugak lidah makcik nak menyebutnya apatah lagi nak mengingat nama ni.huhu.Bertabahlah ya.

SMKA Dato' Haji Abu Hassan Haji Sail (SEMADAH)-sekolah tempat Eqin menghadiri ujian kelayakan Tingkatan 1 ke SMKA di Negeri Sembilan.

Slip panggilan ke ujian kelayakan tingkatan 1 ke SMKA di Negeri Sembilan. Slip ini diperolehi dengan semakan di laman web rasmi JPN Negeri Sembilan. 

Ini merupakan prosedur mak bapak dua tahun sekali bagi saya dan Encik Suami.Yelah anak berderet lima orang, selang dua tahun, maka lepas ni, selang dua tahun lagi sibuklah kami menguruskan interview sana sini.kikih.

Orait, Sekolah ini merupakan sekolah kawalan yang diuruskan di bawah Sektor Pendidikan Islam, JPN, Negeri Sembilan.Jadi proses pemilihan pelajar akan dibuat oleh sektor pendidikan Islam ini tapi urusan temuduga dijalankan di sekolah mengikut pilihan pelajar semasa permohonan melalui online.

Ujian Kelayakan ini dibuat dalam tempoh dua hari, dengan terdapat dua sesi bagi satu hari.Kami dimaklumkan semasa sesi taklimat ibu bapa, mereka memproses permohonan pelajar yang mendapat 2A sehingga 6A, dengan syarat tiada D dalam result UPSR murid.

Urusan pendaftaran Eqin di kaunter 3.Alhamdulillah, ketika kami sampai memang tidak tunggu lama sebab kaunter pendaftaran memang sudah tersedia dengan ustaz dan ustazah yang sedia bertugas.

Selepas selesai urusan pendaftaran, murid diminta menunggu  di bahagian sebelah kaunter pendaftaran.Mereka akan dipanggil mengikut  kumpulan 1 hingga 10.Eqin dapat kumpulan 3.Mereka kemudiannya akan diiring oleh dua pelajar untuk ke bilik kuarantin.

Ujian kelayakan ini dibahagikan kepada Ujian Hafazan, Tilawah dan Bertulis. Jika ada kalangan ibu bapa yang mahu memohon ke sekolah ini, pastikan anak-anak bersedia dengan ujian hafazan.Semasa menjalani ujian hafazan, Eqin dan rakan-rakan dalam satu kumpulan diberi sehelai kertas yang mengandungi 15 ayat dari Surah Al Ankabut.Mereka diberi tempoh dalam 30 minit untuk menghafaz ayat yang diberikan.

Pandangan padang sekolah dari tepi sebelah Dewan An Nur.Sekolah ini mempunyai padang yang luas dan juga gelangang bola tampar yang terletak antara pintu masuk sekolah.Ketika hari ujian, semua ibu bapa diminta untuk parkir kenderaan masing-masing di kawasan padang.

Mengapa ada Ujian Hafazan?
Sekolah ini sebenarnya menawarkan Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA).Batch yang Eqin ikuti ini merupakan batch yang keempat di sekolah tersebut.Jadi selain mengikuti pelajaran seperti di SMKA yang lain, pelajar sekolah ini turut dibimbing dalam program Tahfiz atau dipanggil Kurikulum Kebangsaan, Kurikulum Bersepadu Tahfiz dan Kokurikulum dengan menggunakan tiga teras pendekatan iaitu Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik. 

Sementara dalam ujian bertulis, Eqin menjawab pelbagai soalan berkaitan Matematik, kemahiran Jawi, Tajwid, Bahasa Arab, Sains dan Bahasa Melayu dalam tempoh satu jam.

semasa sesi taklimat ibu bapa di Surau SEMADAH.

Mengapa Memilih Aliran Agama Untuk Persekolahan Anak?
Saya sebenarnya sudah memasang niat sejak anak-anak saya dibangku sekolah rendah lagi bahawa saya mahu anak-anak mengikuti pembelajaran aliran agama dalam pendidikan sekolah rendah dan menengah.

Alhamdulillah, Allah mudahkan hasrat dan impian saya dan suami.Kalau ikutkan sayalah yang berusaha kuat dalam pemilihan sekolah anak-anak, manakala suami banyak menyokong dalam usaha menghantar anak-anak menghadiri temuduga dan ujian kelayakan sehingga sanggup mengambil cuti kerja.Saya anggap dengan menghantar anak-anak mendapat extra ilmu agama secara formal dalam pembelajaran mereka, sebagai jihad saya untuk agama Islam tercinta.aamiin.

Kaunter pendaftaran yang terletak dihadapan pintu masuk Dewan An Nur SEMADAH.

Lagipun, latar belakang pendidikan agama saya dan suami hanyalah sehingga darjah khas, sekolah Agama Johor.Ketika itu pun, walau kami sudah belajar tentang ilmu muamalat, munakahat, jenayat, Faraid, Bahasa Arab dan banyak lagi, namun pelajaran yang diikuti ketika usia sekolah rendah tidaklah dapat kami ingati.Tambah pula tiada kesinambungan diperingkat menengah.Kami memang tidak mampu membimbing anak-anak kami dengan berkesan dalam pelajaran agama khasnya.

Pandangan Dewan An Nur dari tepi padang.Murid lepasan UPSR 2018 sedang menjawab ujian bertulis dalam dewan bagi kelayakan ke tingkatan 1 di SEMADAH

Bagi saya, kami mempunyai sebab yang kuat dengan menghantar anak-anak mengikuti persekolahan dalam aliran agama. Tambahan lagi, KPM juga telah menyediakan banyak pilihan kepada ibu bapa yang memilih Sekolah Kebangsaan tapi pada masa yang sama mahukan pelajaran agama ssebagai kurikulum tambahan di sekolah tersebut. Misalnya dengan adanya pilihan sekolah SMKA, SMA, SABK, KAA, KRK dan banyak lagi sekolah SBP seperti SMAP, SBPI dan juga MRSM Ulul Albab.Begitu juga dengan Maahad Tahfiz dibawah kelolaan kerajaan negeri atau swasta yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan.

Laluan utama ke bangunan kelas dan bilik-bilik khas di SEMADAH.

Secara positifnya, meskipun ada segelintir ibu bapa yang melihat pelajar lepasan agama ini sebagai low porfile, saya pula sebaliknya.Bagi saya anak-anak yang keluar daripada sekolah lepasan agama mempunyai ketrampilan, wibawa dan berdaya saing selain menunjukkan prestasi cemerlang dalam akademik dan ko kurikulum mereka.

Banyak sudah contoh sekolah terbaik di Malaysia dalam SPM atau PT3 didominasi oleh sekolah-sekolah aliran agama.Malah begitu juga dalam ko akademik.Saya juga tidaklah memandang rendah sekolah menengah atau sekolah rendah kebangsaan, yang saya inginkan untuk anak-anak saya ialah persekitaran dan tarbiyyah Islamiyyah dalam persekolahan harian mereka.InshaAllah.Doakan semoga hasrat dan impian kami kesampaian untuk semua anak-anak kami.aamiin.

Oh ya, berkenaan dengan ujian ini, ketika saya menaip post ini, semakan permohonan tingkatan 1 ke SEMADAH belum lagi diumumkan.InshaAllah, keputusan ujian kelayakan anak kedua saya akan saya kongsikan dalam post ini kemudian.Mohon doa semua pembaca blog, semoga Allah berikan kejayaan kepada puteri kedua saya bersekolah di sini.aamiin.


Post a Comment

2 Comments

Thanks Read This Entry:) Drop your comment, So I know That You Are Visit My Blog.Thanks In Advance My Sweet Readers!