Sambal Goreng Jawa Sebenar Orang Johor Yang Mudah Dan Sedap

Dengan Bismillah dan Selamat Sejahtera,
Sambal Goreng Jawa Sebenar Orang Johor memang istimewa. Bagi saya yang sejak kecil sudah biasa disajikan dengan hidangan sambal goreng jawa ni, tentulah saya lebih cerewet dan tahu, manakah sambal goreng jawa yang betul-betul asli.cehceh.Saya kata gitu, sebab memang banyak resepi sambal goreng jawa ni, tapi banyak yang dah kena ubahsuai ikut selera depa. Tak boleh nak kata apalah kan, selera masing-masing.

Sambal Goreng Jawa Sebenar Orang Johor Yang Mudah Dan Sedap by Cik Matahariku
Satu lagi, Sambal goreng bagi masyarakat jawa ni sebenarnya bukanlah dihidangkan ikut suka hati, sambal goreng ini lazimnya ditemui setiap kali masyarakat Jawa mengadakan majlis Yasinan, kenduri tahlil ( dimakan dengan nasi ambeng ), hari raya dan majlis cukur jambul. Boleh dikatakan ia antara hidangan ekslusif dan kita ( orang-orang Jawa ) hanya akan dapat merasa sambal goreng pada waktu-waktu yang dinyatakan.






Salah satu sebab sambal jawa ni dihidangkan dalam majlis tertentu atau kenduri kesyukuran sebab sekali kita buat sambal goreng ni, hasilnya akan jadi banyak macam dalam gambar.Boleh kenduri satu taman ko:)

Sebenarnya boleh je kalau nak masak dalam menu harian, tapi memandangkan sambal goreng ini mengandungi campuran pelbagai bahan, kalau masak sikit pun jadi banyak kan. So, sambal goreng Jawa ni kira paling afdal disediakan time ada keramaian atau kenduri kendara. Jadi, time raya-raya ni waktu paling tepatlah untuk sediakan sambal goreng jawa ni. 
Antara bahan-bahan yang digunakan dalam menyediakan sambal goreng jawa yang sedap
Ini pula soo hoon dan tauhu kering yang perlu direndam terlebih dahulu, dan juga hirisan bawang merah dan bawang putih.Satu bekas lagi tu bahan kisar yang dah siap diblend.

Resepi Sambal Jawa Goreng Asli ( Johor ) Yang Simple dan Sedap

sambal goreng jawa johor
Sambal goreng jawa ni selain sedap dimakan dengan nasi ambeng, ia sedap juga dimakan bersama nasi impit dan serunding kelapa, atau dimakan bersama lontong kering.
Sumber Olahan Resepi  : Cik Matahariku & Encik Suamiku
Sumber Asal Resepi : Mak Cik Matahariku & Mak Encik Suamiku

Saiz Hidangan  : 5 -10 orang dewasa


Bahan-Bahan
3 keping Tempe-dihiris nipis dan digoreng
4 keping tauhu-dihiris dan digoreng
8 batang kacang panjang-dihiris
5 biji kentang saiz sederhana-dihiris nipis dan digoreng
3 tangkai cili hijau/ merah-dihiris
2 packet soo hoon- direndam
1 packet tauhu kering /fucuk-digunting saic 3-4 cm dan direndam
10 tangkai cili kering- digunting nipis
satu gengam ikan bilis-digoreng
satu ulas bawang sederhana besar -dihiris
2 ulas bawang putih -dihiris

Bahan-Bahan Kisar
4 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
satu gengam ikan bilis
satu inci lengkuas
satu batang serai
5 sudu makan cili kering yang sudah diblend

Bahan-Bahan lain
satu sudu makan asam jawa extra Adabi/ perahan air asam jawa
Setengah kotak santan Kara / dibancuh dengan setengah cawan air
Garam dan gula secukupnya


Kicap lemak manis Jalen sukatan lebih kurang satu cawan-
Minyak masak yang secukupnya

Cara Menyediakan Sambal Goreng Jawa Asli Yang Sedap

  1. Sediakan semua bahan-bahan yang perlu dihiris dan digoreng.
  2. Panaskan minyak dalam kuali.
  3. Masukkan hirisan bawang merah dan bawang putih.Goreng sehingga naik bau.
  4. Masukkan bahan-bahan yang dikisar.Biarkan seketika dan kacau bagi rata.
  5. Masukkan pula cili kering blend, perahan air asam jawa dan perasakan dengan gula dan garam ( letak garam dalam secubit dulu,sebab kicap akan buat sambal goreng automatik cukup lemak masinnya.Kacau sehingga sebati dan biarkan mendidih sekejap.
  6. Masukkan hirisan kacang panjang dan cili merah hijau.Masukkan juga tauhu kering/ fucuk ( Toskan dulu airnya).
  7. Tutup kuali seketika untuk lembutkan kacang panjang dan tauhu kering/fucuk.Kalau tak buat macam ni nanti tauhu kering tu tak lembut dan tak sedaplah sambal goreng kita:) 
  8. Selepas 10 minit, boleh masukkan santan dan tuang kicap.Kalau suka sambal goreng yang lebih gelap warnanya, boleh tambah kicap lagi.
  9. Kacau sehingga rata dan sebati semua bahan.
  10. Akhir sekali masukkan tempe, tauhu, kentang dan kacau lagi.Biarkan sehingga sambal goreng nampak sedikit kering dan berkilat.Jangan lupa kacau sekejap.Gunakan api kecil sahaja sebab nak bagi santan tadi betul-betul masak dan jadikan sambal goreng tahan lebih lama.
  11. Angkat dan masukkan dalam bekas yang sesuai.Sedia untuk dihidangkan:)
Sambal goreng panas-panas dalam kuali.Lagi satu, selain untuk dimakan dengan Nasi Ambeng, sambal goreng jawa ni jugak salah satu hidangan yang kita orang suka ratah macam tu je.Sebab tu kalau buat banyak pun tak membazir, karang kejap-kejap ada je dua tiga ketul umat manusia yang pi ratah sambal goreng ni kat dapur.haha.

InshaAllah, resepi legend keluarga yang setakat ini tak pernah menghampakan.
Sambal goreng Jawa ni boleh dikatakan resepi original sambal goreng. Sebabnya kalau ikutkan, sambal goreng ini dimakan dengan nasi ambeng dan ia tidak perlu tambahan seperti udang, hati atau pedal ayam kerana bila kita makan nasi ambeng, ia akan dihidangkan dengan ayam kicap atau ayam goreng berempah, serunding kelapa, mee goreng dan macam -macam lagi.


Sesiapa yang bakal jadi menantu orang Jawa atau dah selamat menjadi menantu selamat mencuba resepi sambal goreng jawa yang sebenar..:).Korang kena cuba buat sendiri tau.

Thanks for reading this entry:)






Post a Comment

0 Comments