Panduan Latih Anak Berpuasa

Dengan Bismillah,
Menjadi ibu bapa bukanlah satu tugas yang akan selesai sebaik sahaja anak itu tidur atau sudah kenyang, malah bukan setakat cukup hantar mereka ke sekolah dan pakaikan mereka baju yang lawa. Jika anda pasangan yang baru bergelar ibu bapa, atau baru bergelar suami isteri, anda harus bersedia dengan segala pengetahuan keibubapaan kerana dunia rumahtangga yang anda fikirkan sebelum berkahwin, belum tentu sama selepas anda berkahwin dan mempunyai anak-anak.


Hubungan mesra antara ibu bapa dan anak sangat penting bagi
memudahkan proses mendidik

Mengikut pengalaman yang masih sedikit dan pengetahuan yang sedia ada, saya dapati proses mendidik, mentarbiyyah atau membimbing anak-anak pada peringkat usia 2 tahun ke atas sangat mencabar, perlukan komitmen jitu kedua-dua pasangan, kesabaran dan ruang masa yang bukan sedikit. Wah, ini kalau dikira sedang berceramah, mahunya bersembur ayeq liuq.haha.

Memandangkan tabiat semulajadi blogger ialah suka berkongsi ( kongsi pengetahuan dan pengalaman ye, bukan kongsi suami..huhai..), Bersempena Ramadan yang bakal menjelma maka dalam kesempatan ini saya kumpulkan panduan latih anak berpuasa yang saya kutip dari beberapa sumber seperti akhbar arus perdana dan majalah tempatan. Saya rangkumkan ia menjadi panduan seperti berikut. Semoga bermanfaat kepada semua.


Melentur buluh biarlah dari rebungnya

Panduan Latih Anak Berpuasa
  1. Mulakan latihan berpuasa mengikut kemampuan anak
  • Jika latihan solat disarankan bermula usia 7 tahun dan hendaklah dirotan ( dengan cara yang berhikmah ) jika masih enggan bersolat pada usia 10 tahun, maka saya dan Encik Suami mengambil panduan ini sebagai latihan untuk mendidik anak kami berpuasa.
  • Proses mendidik memang perlukan kesabaran yang tinggi, pada peringkat awal, kita mungkin akan berasa kasihan pada si anak yang berusia 6-7 tahun sudah dilatih berpuasa, tetapi percayalah, seawal kita melatih mereka, lebih cepat dan mudah mereka memahami sebab dan kewajipan berpuasa ini.
  2. Bimbing anak tujuan dan kebaikan berpuasa

  • Pada peringkat ini, anak perlu dibimbing dan diberi tunjuk ajar perkara asas berkaitan ibadah puasa seperti lafaz niat, perkara yang boleh membatalkan puasa dan kebaikan yang diperolehi dengan berpuasa.
  • Sekiranya anak anda sudah mulai ke sekolah tadika atau Taski dan Pasti, sebenarnya mereka juga sudah diajar asas-asas ibadah puasa ini disekolah.Mereka sudah pernah dengar dan tahu tentang kewajipan berpuasa.
  • Sebagai ibu bapa, kita hanya perlu bimbing dan didik mereka berlatih melaksanakannya.
 3. Berikan Pujian dan Ganjaran
  • Pada usia anak kecil 7-10 tahun, mereka biasanya inginkan dan menyukai jika berjaya melakukan sesuatu, maka akan mendapat ganjaran. Gunakan peluang ini dengan mengajak mereka berpuasa dan janjikan ganjaran yang bersifat mendidik.
  • Ganjaran ini mungkin boleh bermaksud memberi hadiah, membenarkan mereka memilih baju raya yang disukai atau menyediakan hidangan berbuka dan sahur yang disukai mereka.
  • Berikan pujian jika mereka mudah bangun sahur atau dapat berpuasa hingga ke petang. Pujian ini akan menjadi motivasi dan semangat untuk mereka terus berpuasa.
 4. Sediakan Aktiviti yang sesuai dilakukan ketika berpuasa

  • Tujuan menyediakan aktiviti ini ialah supaya mereka tidak bosan dan letih menunggu waktu berbuka. Aktiviti bermain indoor game sesuai dilakukan ketika mereka tidak bersekolah atau menunggu masa berbuka pada waktu petang.
  • Bagi anak-anak yang aktif, ingatkan mereka supaya berehat dan bermain aktiviti yang tidak banyak mengeluarkan peluh. Jika mereka ingin melakukan aktiviti di luar seperti bermain bola dan berbasikal, ibu bapa disaran bermain bersama atau memerhati aktiviti mereka.
  5. Jangan terlepas bangun sahur setiap hari
  • Sahur merupakan aktiviti paling sukar dilakukan oleh anak-anak kecil yang sedang belajar berpuasa. Berdasarkan pengalaman, saya akan bertanya terlebih dahulu kepada anak, makanan yang disukai untuk dinikmati pada sahur esoknya.
  • Selain itu, bangunkan anak lewat dari waktu sahur ibu bapa bagi membolehkan mereka terus mandi dan bersiap ke sekolah. Jika mereka bangun awal untuk bersahur, ibu bapa akan ada masalah untuk membangunkan mereka semula untuk bersiap ke sekolah.
  6. Jauhi anak berpuasa dengan Peti ais
  • Biasanya anak kecil yang baru belajar berpuasa akan mudah terlupa yang dirinya sedang berpuasa, terutamanya pada minggu awal berpuasa. Jadi, ibu bapa disaran supaya sentiasa memastikan anak tidak ke dapur dan membuka peti ais.
  • Jika hal ini tidak dipantau, anak kecil yang berpuasa akan cenderung untuk mengelat dalam berpuasa sama ada akan minum air atau mengambil makanan yang terdapat dalam peti ais.
Sebenarnya, dalam apa jua tabiat atau amalan yang kita ingin anak-anak lakukan, ia hanya terasa sukar saat kita memulakannya, jika si anak sudah memahami sebab dan kewajipan berpuasa sedari usia mereka 7 tahun atau 8 tahun, tahun-tahun berikutnya sudah tidak menjadi masalah bagi mereka. 

Sebagai ibu bapa, panduan latih anak-anak berpuasa yang saya kongsikan ini hanyalah cara atau kaedah yang telah saya gunakan kepada anak saya yang berusia 7 dan 9 tahun.Jika anda mempunyai pengalaman lain yang lebih menarik dan mahu dikongsi, bolehlah kongsikannya dengan saya melalui ruangan komen.

Selamat mencuba dan Selamat berpuasa!

Post a Comment

2 Comments

  1. Belum ada untuk dipraktikkan tapi boleh jadi panduan bila ianya diperlukan nanti...thx ye.

    ReplyDelete
  2. Bagus tu Fizah, ibadah puasa ini lebih berat melatihnya kepada anak kecil kerana ia memerlukan kemampuan anak itu untuk memulakannya, kalau kita terlebih kasihan dan memanjakannya, nanti kita dan mereka juga yang susah...

    ReplyDelete

Thanks Read This Entry:) Drop your comment, So I know That You Are Visit My Blog.Thanks In Advance My Sweet Readers!