Terima Kasih Pak Yus: Damailah Engkau Disana

Dengan Bismillah,
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
AlHamdulillah.Syukur Ya Allah.Saya baru sahaja usai menonton Tribute Khas untuk seorang seniman tanahir yang telah meninggalkan kita tanggal penghujung November lalu.Sangat terkesan.Sebenarnya sebelum menonton siaran langsung itu lagi, saya banyak membaca dan melihat perkongsian-perkongsian di Laman Facebook tentang budi dan tulusnya hati Allahyarham Saudara Yusry Edoo- Pelawak tanahair yang perginya ditangisi oleh rakan dan taulan.

Pernah juga sebelum ini, seorang anak muda yang pernah saya kongsikan kisahnya-yang pemergiannya disebut-sebut dan beliau hanya terkenal selepas hayatnya tiada.Hanya dikenali dan disebut-sebut kebaikannya selepas pemergiannya.Ikuti kisah itu disini : Kematian Yang Dicemburui-

Ya, bagi saya secara peribadi insan-insan yang waktu hayatnya berbuat amal dengan Ikhlas dan sedaya boleh menyembunyikan kebaikannya, maka begitulah Allah menganjari amalan mereka.Iaitu setelah perginya mereka dari alam fana ini.

Terima Kasih Pak Yus: Damailah Engkau Disana
Saya memang tidak mengenali beliau sepertimana kebanyakan komen peminat beliau dalam Facebook.Tidak mengenali Allahyarham secara dekat dan rapat.Namun kesan yang ditinggalkan, sangat mendalam buat kita semua.Dia sebenarnya insan hebat dan menjadi teladan juga inspirasi buat kita semua.

Banyak kebaikan beliau disebut-sebut dalam kalangan rakan sekerja dan semua yang mengenalinya.Dia sangat dikenali dengan sifat ceria yang selalu menghiburkan sesiapa sahaja.Saya agak, tidak seorang pun kalangan rakan yang tahu dan pernah tahu bilakah waktunya Yusry Edoo ini bersedih atau sendirian meratap gerhana hidupnya.

Pemergiannya meninggalkan beberapa hikmah dan pengajaran kepada kita semua.Hikmah yang jika kita tidak mahu memahaminya, maka rugilah kita dalam meneruskan baki hidup ini.Terima kasih Tuhanku, kerana dalam kesempatan waktu yang singkat ini,  kau ingatkan kami dengan banyak benda yang mungkin kami semua sudah jemu, lesu atau lalai dalam melaksanakannya.

Kali ini, saya suka kongsikan kuliah Maghrib yang disampaikan seorang Ustaz muda yang pernah berkhidmat di sekolah anak saya.Perkongsiannya dalam laman Facebook miliknya, sangat baik bag i kita dalam menginsafi bahawa pemergian Allahyarham Pak Yus merupakan suatu teladan dan hikmah besar kepada kita semua.

Hasil carian imej untuk gambar pak yus

December 2 at 11:46pm · 
Lepas maghrib tadi, diri ini menyampaikan kuliyah maghrib.... Mulanya nak sampaikan tentang sunnah ketika ada kematian... Namun, dari awal sampai akhir, aku hanya dapat mampu melazkan kata-kata iktibar yang perlu kita ambil dari kisah kematian seorang pemuda yang telah kehilangan ibu dan ayahnya dan telah banyak menghiburkan kita serta membuatkan kita tersenyum dan hilang stress tatkala menonton telatahnya.

Dalam kuliyah tersebut, aku katakan ; 
Ya benar, dia bukan yang dikenali sebagai ustaz, dia hanya pelawak, tapi perasankah tuan-tuan, tatkala dia telah meninggal dunia, Allah memuliakan dia dengan cara Allah membuka semua kisah-kisah kebaikannya ketika dia di dunia, barulah kita tahu yang beliau ini orang yang rajin bersedekah dan menginfaqkan hartanya untuk kebaikan ummat, barulah kita tahu yang beliau ini hidupnya diuji dengan pelbagai ujian keimanan, dia ini kehilangan ibu dan ayah, dia dikatakan dipinggirkan keluarga, berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari nafqah, banyak membantu orang lain yang lebih memerlukan, dan kita dapat tahu kebaikan yang dia lakukan dan ujian yang dia hadapi dengan penuh kesabaran tatkala beliau telah meninggal dunia, dan dia di alam sana, dia tak tahu pun yang sekarang ini kita sedang menceritakan tentang kebaikan dan amal solehnya.

Aku katakan lagi dalam kuliyah maghrib tadi:
Bila Pak Yus dah mati, Allah muliakan dia, Allah buka semua kisah kebaikannya dan sekarang ini barulah kita dapat tahu kebaikannya itu. Semasa beliau hidup, sekalipun beliau pelawak, kita tidak pernah dengar dia menceritakan keburukan orang lain, kita tidak pernah dengar apa-apa yang negatif dari mulutnya terhadap orang lain, kita tak pernah nampak dia menjatuhkan orang lain. Yang kita tahu setelah kematiannya adalah semua cerita-cerita yang amat baik dan meberi keinsafan kepada kita. Akhirnya kita tahu bahawa Pak Yus adalah seorang yang BENAR-BENAR IKHLAS DALAM AMALANNYA SERTA MEMILIKI SIFAT TAWADHU' YANG AMAT TINGGI. Hebat insan yang bernama Yusri Bin Edoo a.k.a Pak Yus, Pak Yuih.

Aku katakan lagi :
Ya benar, beliau hanyalah pelawak, tapi beliau lebih mulia daripada sebahagian orang berstatus agama yang menjual agama untuk kepentingan diri. Pak Yus juga hamba Allah yang akan dihisab oleh Allah nanti. Sekalipun beliau hanyalah pelawak, tapi amal baik yang dilakukan ketika hidup, dia tidak mahu menghebahkannya kerana dia tahu bahawa biar Allah sahaja yang tahu apa kebaikan yang dia lakukan. Hasilnya, bila dia dah mati, Allah buka kisah amal baiknya itu untuk kita jadikan iktibar.

Akhir kata tadi, aku katakan : 
Jadilah insan yang ikhlas beramal kerana Allah, jagalah aib, jangan buka aib orang lain, agar bila kita dah mati nanti, orang tak buka aib kita, dan janganlah buka aib diri sendiri, moga Allah tutup aib kita di Mahsyar nanti.

Rahimahullah Pak Yus, Allahumma ghfir lahu warhamhu wa3aafihi wa3fu3anhu.

Kami sentiasa mendoakanmu wahai insan yang telah banyak buat kami terhibur dan tersenyum. Moga amal kebaikanmu, kesakitan mu sebelum mati itu akan menjadi penyebab untuk kau tergolong di kalangan ahli syurga. Amiin.

(Sunnah bila ada kematian, kita kata Inna Lillahi wa inna ilahi roji3uun. Dan kita mendoakan dia Allahhumma ghfirlahu warhamhu wa3aafihi wa3fu3anhu.. Bila kita nak kata nama si mati boleh juga kita kata Rahimahullah sebelum nama si mati, contoh : Rahimahullah Pak Yus, moga Allah kurniakan Pak Yus syurgaNya.)

Semoga Allah merahmati dan meletakan rohnya dalam kalangan hamba-hambaNya yang beriman dan beramal soleh.aamiin.

Post a Comment

0 Comments